Rencana

Kenapa tidak berucap dalam Bahasa Malaysia di PBB?

Ucapan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menerima kutukan banyak pihak. Termasuklah mereka yang tidak kurang menggigil apabila diajak berbual dalam bahasa Inggeris.

Kata mereka, Ahmad Zahid telah memalukan negara dengan tahap kemahiran bahasa Inggeris yang sangat lemah. Memang tidak boleh diterima apabila orang nombor dua dalam kerajaan, dan telah berpengalaman luas berurusan dengan wakil-wakil antarabangsa, malah mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB, tidak mahir berbahasa Inggeris.

Dahulu, sewaktu belum bermesra dengan PAS, antara kritik paling jahat juak-juak UMNO terhadap Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ialah presiden parti Islam itu tidak mampu bertutur dengan baik dalam Bahasa Inggeris.

‘Macam mana nak jadi Perdana Menteri, nak berucap di PBB?’ kata mereka. Sekarang mereka tak berapa boleh nak kutuk sangat.

Apa-apa pun Zahid Hamidi patut sudah cukup berlatih sepanjang kerjaya politiknya untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Malah teks ucapannya itu pun sepatutnya boleh dilatih sehingga mahir.

Mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dahulu tidak pandai cakap orang putih. Setelah dilatih, bukan setakat mahir, beliau malah boleh memberi syarahan akademik juga.

Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Kluang, juga baru beberapa tahun ini sahaja lancar pertuturan Inggerisnya. Chin Tong sebelum zaman berpergian ke Australia, tidak begitu fasih bercakap bahasa orang putih.

Maka Zahid Hamidi tidak ada alasan untuk tidak memperbaiki kemahiran berbahasanya. Demi kebaikan diri sendiri.

Namun persoalan yang lebih besar sebenarnya ialah, kenapa bukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri yang pergi berucap di PBB? Kenapa beliau tidak berada di situ mewakili negara? Bukankah Najib Razak pemimpin ulung yang sudah terbiasa bermain golf dengan Presiden Barack Obama? Pastilah kemahiran berbahasa Inggerisnya jauh lebih baik berbanding Ahmad Zahid?

Barangkali memang sengaja Zahid Hamidi dihantar ke PBB untuk berucap dalam keadaan paling rentan; dengan diketahui kurang fasih berbahasa Inggeris agar dia dimalukan dan memadam cita-cita menjadi calon ganti Perdana Menteri.

Ini pastikan akan memberi jalan selesa kepada sepupu Najib Razak sendiri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang semalam dikhabarkan Institut Darul Ehsan lebih popular berbanding Zahid, sebagai calon pengganti Perdana Menteri. Hisham pastinya juga lebih fasih bercakap bahasa orang putih.

Sebenarnya Zahid patut lebih tahu dan sedar, jika ada sebarang langkah politik jahat untuk mengaibkannya di pentas dunia.

Malah Zahid sewajarnya bertindak berucap di pentas PBB dalam bahasa ibunda. Bukan setiap minggu beliau berpeluang untuk berucap di pentas antarabangsa. Apalah salahnya jika beliau menggunakan Bahasa Malaysia, bahasa leluhurnya sendiri sambil diselit beberapa kerat pantun dan peribahasa. Bukankah itu kekayaan budaya yang wajar kita banggakan?

‘Strategi Samudera Biru’ seperti cadangan penulis tersohor Faisal Tehrani, bukankah jauh lebih indah berbanding ‘blu osen’? – Roketkini.com