Berita

Beri keutamaan kepada pembangunan pendidikan awal kanak-kanak – Bee Yin

PETALING JAYA, 29 SEP: Inisiatif pendidikan awal kanak-kanak, termasuk projek Permata yang dinaungi isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor tidak harus ditolak ke tepi hanya kerana individu yang terkait dengannya tidak disenangi ramai.

Ini kerana pendidikan awal yang baik, sebagai inisiatif awal pembangunan modal insan, akan memberi faedah jangka masa panjang, termasuk kos kebajikan sosial yang rendah, kadar jenayah rendah serta kutipan hasil yang meningkat.

Demikian kata Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin memetik hasil kajian penerima hadiah Nobel dalam lapangan ekonomi, James J. Heckman, dalam mempertahankan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak.

Namun katanya, meski Permata menerima peruntukan tinggi saban tahun, tidak ada halatuju strategik oleh pihak kerajaan, terutamanya perancangan khusus untuk memastikan wujudnya penjagaan kanak-kanak yang bermutu tinggi serta pendidikan pra-sekolah yang berpatutan dengan kemampuan rakyat terbanyak.

“Kini, yuran bulanan penjagaan kanak-kanak untuk sehari penuh di Lembah Klang ialah antara RM350 ke RM2,000 untuk seorang kanak-kanak, bergantung kepada kualiti pusat jagaan.

“Perbelanjaan jagaan kanak-kanak menjadi beban kepada keluarga muda, dan hanya mereka yang berkemampuan boleh menghantar anak mereka ke pusat jagaan yang baik,” ujar beliau, sambil menambah bahawa masalah tersebut memaksa ibu-ibu untuk berhenti kerja yang memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Malaysia katanya, boleh belajar daripada negara-negara Skandinavia yang mengsubsidi pusat jagaan kanak-kanak mengikut kemampuan pendapatan isirumah.

“Selangor mempunyai program subsidi yang hampir serupa seperti Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS) dan Si Kembar (Skim Bantuan Asuhan Selangor), namun ia terhad kepada isirumah dengan pendapat kurang RM2.500,” jelas Bee Yin.

Pun begitu, Selangor tidak mampu memperkembang program tersebut kepada keluarga berpendapatan sederhana dan meningkatkan jumlah subsidi atas kekangan kewangan dan bidang kuasa.

“Belanjawan negeri Selangor hanyalah 1% daripada belanjawan Kerajaan Persekutuan. Pendidikan awal kanak-kanak sepatutnya dikembangkan oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,” katanya sambil menegaskan bahawa projek Permata tidak sepatutnya diletakkan di bawah bidang kuasa Pejabat Perdana Menteri.

Permata menjadi tajuk utama berita beberapa minggu lalu ekoran laporan anugerah yang dikaitkan dengan Unesco ditarikbalik oleh pihak penganjur lantaran persoalan mengenai dana badan terbabit.

Anugerah yang didakwa sepatutnya diberi kepada Rosmah sebagai penaung Permata, dibatalkan pada saat akhir dengan alasan dana badan itu dicemari skandal.

“Apa yang lebih penting ialah untuk memberi perhatian kepada Permata, yang awalnya ditubuhkan untuk membangunkan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia,” tegas Bee Yin. – Roketkini.com