Berita

SPR dikecam batal program pendaftaran pengundi

PETALING JAYA, 29 SEP: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan pelbagai alasan mengarut dalam melaksanakan tugas mendaftar pengundi baharu dilihat sebagai tindakan yang cuba mensabotaj proses pilihanraya negara ini.

Persoalan itu ditimbulkan DAP Selangor apabila semua program pendaftaran pengundi yang dirancang untuk diadakan di beberapa lokasi di seluruh Selangor bermula awal Oktober hadapan dibatalkan SPR.

Menurut pengerusinya Tony Pua, antara alasan yang diberikan SPR membatalkan program pendaftaran pengundi itu adalah kerana mereka sedang memberikan fokus terhadap bantahan persempadanan semula kawasan pilihanraya.

“Tetapi apabila kita minta calon pemilih berdaftar di pejabat pos terdekat, kami sering dapat aduan bahawa borang pendaftaran pemilih pula tidak mencukupi,” katanya dalam satu sidang media pagi tadi.

Jelas Tony, perkara tersebut jelas menunjukkan SPR tidak cekap dan gagal memikul tanggungjawab mereka untuk memastikan pemilih yang layak berdaftar dan dapat memenuhi tanggungjawab mereka untuk mengundi.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, tindakan yang dilihat sebagai sabotaj ini berlaku kerana generasi muda tidak lagi memiliki keyakinan dan kepercayaan terhadap UMNO dan BN.

“Dalam pilihanraya lalu jelas menunjukkan majoriti dari generasi muda lebih memihak kepada pembangkang,” ujar beliau.

SPR takut dengan pengundi muda

Naib Pengerusi DAP Selangor Hannah Yeoh berkata, tindakan SPR ini seolah-olah menunjukkan SPR terlalu takut dengan pemilih baru.

“Tindakan membatalkan semua program pendaftaran pemilih itu jelas menunjukkan mereka mahu menghalang pemilih daripada mendaftar,” katanya.

ADUN Subang Jaya itu menjelaskan, pihaknya menerima banyak permintaan untuk mendaftarkan pengundi baharu namun tergendala setelah SPR menolaknya dengan banyak alasan.

“Sebelum ini kita mempunyai Penolong Pendaftar Pemilih. Jadi ahli-ahli kita akan pergi ke pusat beli belah, pasar malam dan pasar pagi untuk lakukan pendaftaran. Sekarang, cara sebegini dihentikan ini, mereka tak lagi lantik ahli-ahli parti jadi Penolong Pendaftar dan kita terpaksa bergantung sepenuhnya (SPR),” ujar beliau. – Roketkini.com