Berita

Tanam Kak Wan di jirat: Mufti Pulau Pinang kecam YDP PAS kafirkan sesama Islam

GEORGE TOWN, 29 SEP: Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor mahu supaya umat Islam tidak mengkafirkan sesama Islam berikutan polemik melibatkan rang undang-undang pindaan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang bakal dibentangkan di Parlimen pertengahan Oktober kelak.

Beliau melahirkan rasa sedih apabila wujud segelintir agamawan di negara ini yang sewenang-wenang mengkafirkan orang Islam hanya kerana mengambil pendirian tidak bersetuju dengan rang undang-undang tersebut.

“Kita tidak wajar memaksa mana-mana ahli Parlimen menerima RUU355 dengan apa jua cara termasuk mengugut kononnya sesiapa tidak menyokong akan menjejaskan akidah,” tegas beliau dalam satu kenyataan.

Menurut Dr Wan Salim, usul pindaan rang undang-undang tersebut perlu diteliti dari pelbagai aspek perundangan dan dibahaskan demi menghasilkan sebuah undang-undang yang dapat berlaku adil kepada seluruh warga.

“Memang seorang Muslim wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh Allah, yang sakral. Tetapi RUU 355 bukan hukum Allah.

“Ini hanya merupakan satu langkah ke arah memperkasa dan memartabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia yang akan dibentangkan nanti,” katanya.

Dr Wan Salim berkata, perbahasan dan penelitian perlu dibuat terhadap segala kemungkinan berlakunya kekurangan dan kelemahan tertentu di dalam RUU tersebut yang dan diperbaiki sebelum dijadikan undang-undang.

Polemik RUU355 mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila Yang Di-Pertua PAS Padang Serai Shaharuddin Ibrahim dalam kuliahnya yang viral di media sosial meletakkan hukuman ‘jatuh iman’ bagi mereka yang tidak menyokong RUU355.

Dalam kuliah tersebut, Shaharudin cuba mengkafirkan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dengan berkata jika beliau tidak sempat menyokong usul tersebut dan meninggal dunia, beliau akan ditanam di tanah perkuburan bukan Islam.

“Yang Berhormat Kak Wan, Kak Wan nanti Tan Sri Pandikar tanya ahli-ahli yang berhormat siapa yang menyokong akta 355 sila angkat tangan. Kak Wan, Kak Wan kena angkat tangan. Kalau Kak Wan tak angkat tangan, boleh menyebabkan jatuh (gugur) iman, kalau ditakdirkan lepas tak angkat tangan tu mati, kami tanam jirat (perkuburan bukan Islam)”.

Jangan mengkafir

Kesal dengan kenyataan pemimpin PAS tersebut, Exco Hal Ehwal Agama Pulau Pinang Abdul Malik Kassim berkata ucapan Shaharuddin itu tersebut menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar.

“Saya nak beri amaran jangan cuba pecah-belahkan umat Islam di Pulau Pinang dengan menggunakan taktik kotor lama dulu dimana kita tahu (berlaku) kafir-mengkafir, sembahyang dua imam dan sebagainya,” katanya dalam sidang media pagi tadi.

Menurut Abdul Malik, ucapan takfiri yang dikeluarkan Shaharuddin adalah satu perbuatan yang sangat serius,

“Pelampau agama bukan sahaja bermaksud pengganas bersenjata yang menyalahgunakan nama Islam, tetapi juga boleh terdiri daripada mereka yang mengkafir sesama Muslim,” ujarnya.

Beliau menggesa supaya agamawan Islam, khususnya pemimpin tertinggi PAS menasihati Shaharuddin supaya tidak sewenang-wenangnya menghukum sesama penganut Islam.

Menganggap ucapan takfiri Shaharuddin itu sebagai taktik kotor dan bahaya dari pemimpin PAS, Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang Zairil Khir Johari mahu supaya semua pihak berhati-hati mengeluarkan kenyataan.

“Kenyataan yang dibuat itu memang mencerminkan politik kotor, jijik dan pada saya telah memburukkan imej Islam itu sendiri,” katanya ketika dihubungi Roketkini.

Selain telah menjejaskan imejnya sendiri sebagai seorang pemimpin politik beragama Islam, ucapan yang dikeluarkan Shaharuddin itu juga boleh mencetuskan kemarahan orang ramai.

“Pada saya bukan setakat perlu minta maaf secara terbuka tapi beliau harus tarik balik kenyataannya,” gesa Zairil.

Ini bukanlah kali pertama Yang Di-Pertua Pas Padang Serai itu mendapat publisiti dengan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan fitnah.

Jun lalu, beliau telah menfitnah kerajaan negeri Pulau Pijnang kononnya azan tidak boleh dilaungkan di negeri tersebut dalam satu tazkirah Ramadan di Padang Serai. – Roketkini.com