Berita

Jangan salahkan persepsi negatif rakyat jika kerajaan terlibat skandal

KUALA LUMPUR, 30 SEP: Rakyat tidak patut dipersalahkan kerana mempunyai persepsi negatif terhadap kerajaan kerana ia wujud disebabkan skandal penyelewengan dan salahguna kuasa melibatkan pemimpin-pemimpin kerajaan sendiri.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata adalah tidak adil untuk kerajaan mendabik dada apabila kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa dalam keadaan baik, tetapi menuding jari ke arah rakyat apabila perkara sebaliknya berlaku.

“Persepsi pakar dan rakyat terhadap isu-isu penting di Malaysia termasuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa adalah berdasarkan situasi politik dan ekonomi dalam negara.

“Jika kerajaan yang gagal mengurus ekonomi dengan baik sehingga menyebabkan kedudukan kita jatuh di peringkat dunia, mereka tidak boleh salahkan rakyat,” tegas Penolong Setiausaha DAP Selangor itu kepada Roketkini.

Dr. Ong berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan bahawa kononnya aduan rakyat Malaysia antara sebab kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya Saing Global 2016-2017 menurun.

Laporan itu mendedahkan bahawa daya saing global Malaysia telah merosot dari tempat ke-18 tahun lalu ke tempat ke-25 daripada 138 buah negara tahun ini.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli seperti dilapor portal berita Malaysiakini hari ini turut menempelak kenyataan Ka Chuan dengan menyifatkan penurunan itu adalah disebabkan oleh kucar-kacir 1MDB.

Setiausaha Agung PKR itu mendakwa dana awam yang sepatutnya diperuntukkan bagi menambahbaik kualiti perkhidmatan dalam pendidikan awam dan penjagaan kesihatan telah digunakan untuk membayar hutang syarikat milik Kementerian Kewangan tersebut. – Roketkini.com