Rencana

Memelihara alam sekitar juga tuntutan Islam, bukan sekadar hudud

Sebenarnya, antara semua parti politik di Malaysia, salah satu parti yang sepatutnya tegas menjaga dan melindungi alam sekitar adalah PAS.

Ini kerana PAS sejak awal penubuhannya memegang Islam sebagai prinsip asas, dan Islam adalah sebuah agama yang amat menitikberatkan penjagaan dan pemeliharaan alam sekitar yang dipercayai adalah rahmat agung dari Tuhan.

Islam juga memandang manusia sebagai khalifah atau pemimpin yang dilantik bagi menguruskan khazanah bumi dengan baik. Selari dengan konsep kesederhanaan dalam agama itu, segala macam sumber yang ada di bumi ini hanya boleh digunakan bagi meneruskan survival manusia dan tidak boleh dieksploitasi bagi keuntungan peribadi.

PAS mendakwa mereka berbeza dari parti-parti politik yang lain dan kerap kali menegaskan bahawa parti itu mengamalkan ajaran Islam secara sepenuhnya – kononnya apa saja yang dilakukan oleh mereka adalah ‘demi Islam’.

Malah, itulah satu-satunya sebab mengapa Muslim di negara ini menyokong PAS.

Namun, mengapa apa yang terjadi di negeri pimpinan PAS, iaitu Kelantan menunjukkan sebaliknya?

Negara kini kecoh dengan isu pembalakan yang berleluasa di Gua Musang sehingga menyebabkan masyarakat Orang Asal di sana terpaksa bergadai nyawa demi mempertahankan hutan dari terus diperkosa pembalak-pembalak haram. Ada di antara mereka diancam oleh samseng-samseng bersenjatakan pisau, hanya kerana cuba melindungi khazanah alam di daerah itu.

Media mendedahkan bahawa kemusnahan hutan di daerah berkenaan telah berlaku sejak 20 tahun lalu dan melibatkan sekitar 100 ribu hektar hutan yang terjejas, iaitu kira-kira dua kali ganda keluasan negeri Perlis! Malah, kawasan yang diteroka dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang pemantauan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Tambah menyedihkan, perkara itu tetap berlaku walaupun pihak Jaringan Orang Asli Kelantan mendakwa mereka sudah beberapa kali menghantar surat bantahan aktiviti pembalakan kepada Pejabat Menteri Besar Kelantan dan Jabatan Perhutanan Negeri. Namun, aktiviti yang meranapkan alam sekitar itu terus berjalan tanpa pengawasan di negeri berkenaan.

Bukankah PAS sepatutnya sudah ‘bertaubat’ dan mengambil iktibar dari tragedi bah kuning yang melanda negeri itu pada 2014, sehingga menyebabkan ramai rakyatnya merana dan terpaksa hidup dalam kesukaran akibat kemusnahan tempat tinggal?

Mengapa aktiviti kemusnahan hutan yang berkait rapat dengan fenomena banjir itu masih dipandang ringan?

Hanya satu perkara saja yang dapat saya simpulkan dari kemusnahan hutan yang berleluasa di Kelantan ini. Ada wajarnya PAS memberhentikan dahulu cakapnya yang berdegar-degar untuk melaksanakan hudud di negara ini dan memberi fokus kepada isu-isu berkaitan masyarakat dan alam yang masih belum diselesaikan.

Jika tanggungjawabnya sebagai pemelihara alam sekitar pun gagal dilaksanakan, adakah PAS yakin mereka mampu menjadi pemelihara dan pelaksana undang-undang hudud yang adil dan saksama?

Apa yang paling membimbangkan adalah jika berlaku sebarang ketidakadilan dalam pelaksanaan hudud satu hari nanti, PAS dikhuatiri akan mengambil sikap yang sama – memandang remeh kerosakan yang berlaku sehingga menyebabkan imej agama Islam semakin tercemar, seperti yang terjadi pada hari ini. – Roketkini.com