Berita

Kepimpinan baru DAP Sabah terus perjuang hak negeri, tempelak pengkhianat parti

KOTA KINABALU, 4 OKT: Persepsi hanya parti tempatan sahaja yang layak untuk memperjuangkan hak Sabah adalah tidak tepat sama sekali. Sebaliknya, parti peringkat nasional telah memainkan peranan besar memperjuangkan hak-hak Sabah.

Ia terbukti apabila ahli-ahli parlimen DAP banyak menyuarakan isu berkaitan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat melibatkan autonomi Sabah, autonomi pendidikan, hak tanah orang asal, royalti petroleum, isu alam sekitar dan sebagainya.

Malah, kempen Batu Sumpah yang dilancarkan DAP Sabah pada Ogos 2014 lalu mendapat perhatian kerajaan apabila Batu Sumpah Keningau diputuskan sebagai tapak warisan negara.

Kenyataan ini dibuat Setiausaha DAP Sabah yang baharu Chan Foong Hin menempelak Adun Likas Junz Wong yang ‘melompat’ parti Isnin lalu yang beriya-iya mendakwa kononnya perjuangan atas landasan parti tempatan lebih menepati cita rasa Sabah.

“Fikiran sempit hanya parti tempatan yang boleh memperjuangkan hak Sabah harus kita sama-sama tolak kerana ia tidak membantu dalam proses pembangunan negara.

“Saat ini kita dapat lihat rakyat negara ini telah terpecah dengan latar belakang agama dan suku kaum, ditambah pula dengan sentimen tempatan. Di manakah semangat Malaysian Malaysia yang pernah didukung oleh Junz semasa beliau dalam DAP?” soal beliau.

Chan Foong Hin diberi kepercayaan menggantikan jawatan Junz yang bertindak meninggalkan DAP bersama beberapa ahli jawatankuasa DAP Sabah termasuk Timbalan dan Naib Pengerusi negeri.

Menurut Chan yang juga Adun Sri Tanjung itu, walaupun menukar wadah politik adalah hak demokratik seseorang, namun tindakan Junz yang turut melobi ahli-ahli jawatankuasa yang lain mengikut jejak langkah beliau tidak dapat diterima.

“Memang itu hak Junz bekas saudara seperjuangan kita menukar buah fikiran politik meninggalkan rumah lama dan pindah ke rumah baru.

“Namun, beliau tidak boleh menghancurkan rumah lama yang telah meletakkannya sehingga tahap kejayaan beliau sebagai Adun dengan melemparkan hasutan untuk membawa keluar ahli-ahli kita. Sampai sekarang, dia masih aktif dalam merekrut ahli-ahli DAP yang lain,” jelas Chan.

Tindakan Junz yang disifatkan mengkhianati kepercayaan pengundi Likas itu turut mengundang persoalan sama ada kerusi yang dimenanginya dalam pilihanraya umum yang lalu boleh dikompromi.

“Tiada sebarang jaminan atau hubungan kerjasama yang erat jika ‘puak’ Junz menyertai parti tempatan baru di mana parti tersebut masih mahu menjalinkan hubungan kerjasama dengan kita (DAP).

“Kita tidak mungkin menyerahkan kerusi Likas kepada mana-mana pihak. Kerusi yang menang oleh DAP adalah hak DAP dalam rundingan kerusi sesama pembangkang sebelum ini,” tegas Chan.

Isnin lalu, Junz Wong selaku Setiausaha DAP Sabah mengumumkan meletak jawatan dari DAP  diikuti Timbalan Pengerusi Joan Goh, Naib Pengerusi George Hiew, Bendahari David William, Timbalan Setiausaha Organisasi Daniel Kalinggang, Timbalan Setiausaha Publisiti Charles Magadap dan Pengarah Biro Pendidikan Politik Nick Chak.

Berikut adalah senarai terbaharu Ahli Jawatankuasa DAP Sabah:

Penasihat: YB Jimmy Wong Sze Phin (Kota Kinabalu)

Pengerusi: YB Stephen Wong Tien Fatt (Sandakan)

Timbalan Pengerusi: YB Dr Edwin Bosi (Dun Kepayan)

Naib Pengerusi: Peter Saili

Naib Pengerusi: Frankie Poon

Setiausaha: YB Chan Foong Hin (Dun Sri Tanjong)

Penolong Setiausaha: Tan Lee Fatt

Bendahari: Ronnie Loh

Setiausaha Organisasi: Henry Shim

Penolong Setiausaha Organisasi: Kiew Chan Hang

Setiausaha Publisiti: Phoong Jin Zhe

Penolong Setiausaha Publisiti: Clare Taunek

Pengarah Pendidikan Politik: Adrian Lasimbang

Ahli Jawatankuasa: Liew Yun Yun, Arijan bin Nayang, Edward Liau, Vincent Fung, Calvin Chong dan George Wong.