Rencana

Belanjawan 2017: ‘Dana gelap’ Jabatan Perdana Menteri wajib dihapuskan

Belanjawan tidak terlepas daripada persoalan membuat pilihan dan menetapkan keutamaan.

Belanjawan 2017 yang akan dibentangkan pada 21 Oktober 2016 adalah sebuah belanjawan yang bakal dirangka di atas latar ekonomi global yang lembap dan bergerak perlahan. Ini bermakna kerajaan turut berhadapan penurunan jumlah cukai korporat. Harga minyak yang menjunam sejak Oktober 2014 tidak menggambarkan ianya akan kembali meningkat untuk beberapa tahun yang mendatang seterusnya memberi isyarat bahawa Kerajaan tidak boleh terus bergantung terhadap hasil minyak.

Penggunaan domestik semakin terhimpit sejak pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sehingga memberi kesan buruk terhadap pendapatan boleh guna rakyat Malaysia. Pada masa yang sama, kejatuhan nilai matawang ringgit menambah lagi beban inflasi. Hal ini dengan jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak lagi mampu mengutip kadar cukai yang lebih menerusi cukai pendapatan individu, korporat mahupun GST itu sendiri.

Akhirnya, akan berlakulah pengurangan hasil negara dan kerajaan terpaksa berhadapan keadaan yang sukar untuk membuat beberapa pilihan:

Pertama, menaikkan kadar cukai di mana hal ini akan terus menambah tekanan kepada rakyat Malaysia dan menambah lagi penguncupan penggunaan domestik dalam senario kelembapan sedia ada; 

Kedua, menambah pinjaman. Hal ini amat berisiko kerana hutang serta liabiliti sedia ada kerajaan sendiri pun sudah berada pada kadar yang amat membimbangkan;

Ketiga, memotong perbelanjaan. Dua persoalan timbul; a) Jika kerajaan membuat potongan secara drastik, ia akan merisikokan ekonomi Malaysia merudum dengan mendadak, b) apakah perbelanjaan yang perlu dipotong dan apakah yang perlu dikekalkan?

Kerajaan tiada pilihan lain kecuali untuk membuat pilihan!

Telah wujud desas-desus pemotongan perbelanjaan yang akan melibatkan sektor kesihatan, pendidikan dan kebajikan rakyat. Namun, pada saat hutang isi rumah yang kian membengkak, penyusutan kadar pendapatan dan perkembangan ekonomi yang amat perlahan, sektor kesihatan awam, pendidikan awam dan kebajikan merupakan suatu keperluan mendesak buat rakyat. Dengan kata lain, pemotongan tidak wajar dilakukan ke atas ketiga-tiga sektor ini.

Atas segala pertimbangan yang telah diutarakan, kami ingin mencadangkan langkah segera dan tuntas yang perlu diambil oleh Kerajaan untuk belanjawan 2017, iaitu pemotongan peruntukan pembangunan untuk Perdana Menteri, atau apa yang kami istilahkan sebagai ‘dana gelap’.

Belanjawan 2014, 2015 dan 2016 telah memperuntukkan sekurang-kurangnya RM7 bilion untuk Perdana Menteri. Hal ini hampir tidak pernah wujud sebelum Datuk Seri Najib Razak memegang tampok kuasa sebagai Perdana Menteri.

Berbanding sektor-sektor lain, peruntukan di Jabatan Perdana Menteri ini tiada diberikan spesifikasi yang jelas akan tujuan khusus penggunaannya. Ia kebiasaannya tergantung pada ‘lampu hijau’ yang diisyaratkan oleh Perdana Menteri bila mana difikirkan perlu untuk digunakan. Pada kami, ia merupakan suatu perkara yang tidak masuk akal dan mesti dihapuskan.

Jabatan Perdana Menteri Najib berbelanja 2 kali ganda

Jabatan Perdana Menteri hari ini seolah-olah ‘kabinet dalam kabinet’ bagi sistem eksekutif Malaysia dengan 9 menteri, 3 timbalan menteri dan 51 bahagian.

Kajian kami tidak meliputi belanjawan yang diperuntukkan untuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Peguam Negara (AG’s Chambers) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut berada di bawah seliaan Jabatan Perdana Menteri. Kebetulan, penganalisis Chua Sue-Ann dari akhbar The Edge Financial Weekly turut memaparkan hasil kajian yang sama (keluaran 3 Oktober 2016). Kajian beliau turut memuatkan angka-angka melibatkan entiti yang dinyatakan di atas (JPA, AG’s Chambers, SPRM) yang pastinya menambah lagi angka jumlah perbelanjaan di Jabatan Perdana Menteri berbanding angka-angka yang kami kemukakan dalam kajian kami.

bajet jpm

Untuk menunjukkan gambaran yang lebih adil, angka inflasi yang diselaraskan (harga 2010) telah digunakan. Angka 2015 dan 2016 merupakan anggaran manakala angka yang sebelum ini adalah perbelanjaan yang sebenar.

Dan untuk berlaku adil juga, perbelanjaan di Jabatan Perdana Menteri sepanjang tempoh perkhidmatan Tun Dr Mahathir Mohamad juga agak besar jika dibandingkan dengan Perdana Menteri dan Presiden di kebanyakan negara lain.

Namun begitu, perbelanjaan di Jabatan Perdana Menteri pada era kepimpinan Najib telah menyaksikan perbelanjaan terbesar dalam sejarah Malaysia. Dengan segala keterbatasan sumber yang ada, Jabatan Perdana Menteri telah menjadi pesaing kepada peruntukan bagi sektor pendidikan awam, kesihatan awam dan kebajikan.

Untuk rekod, saiz belanjawan telah meningkat dua kali ganda antara tahun 2000 (RM 111 billon) dan 2016 (RM 267 bilion). Pada masa yang sama, saiz peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri pula telah meningkat sebanyak empat kali ganda iaitu daripada RM5.2 bilion pada tahun 2000 kepada RM20 bilion pada tahun 2016.

Peningkatan paling ketara berlaku pada era Najib kini. Pada tahun akhir kepimpinan Perdana Menteri Abdullah Badawi (2008), belanjawan mencecah RM7 bilion sahaja. Ia melambung kepada RM10 bilion pada tahun 2009 dan RM20 bilion pada 2016. Dalam erti kata lain, angka telah meningkat dua kali ganda di bawah pentadbiran Najib.

Peruntukan Jabatan Perdana Menteri adalah kurang dari 4 peratus daripada jumlah keseluruhan belanjawan antara tahun 2002 dan 2008. Pada tahun pertama Najib sebagai Perdana Menteri iaitu pada 2009, Jabatan Perdana Menteri telah mengambil 4.9 peratus daripada jumlah peruntukan belanjawan bagi tahun tersebut. Jabatan Perdana Menteri antara 2010 dan 2015 pula telah mengambil antara 5 dan 7 peratus daripada keseluruhan jumlah belanjawan tahunan. Dalam belanjawan 2016, Jabatan Perdana Menteri telah mengambil 7.6 peratus daripada keseluruhan jumlah peruntukan.

Belanjawan Pembangunan berskala ‘mega’

Jabatan Perdana Menteri memiliki belanjawan pembangunan berskala ‘mega’ di bawah pentadbiran Najib, mengatasi peruntukan-peruntukan pembangunan yang lain.

Dalam belanjawan 2016, hanya 19 peratus sahaja telah diperuntukkan untuk pembangunan. Namun dalam keterhadan pada waktu itu sekalipun, Jabatan Perdana Menteri telah mengambil sehingga 27.5 peratus!

‘Dana Gelap’

Jumlah peruntukan pembangunan yang cukup luar biasa yang kami sifatkan sebagai ‘dana gelap’ (slush funds) di Jabatan Perdana Menteri ini adalah agak sukar untuk didapati sebelum era kepimpinan Najib.

Anggaran Perbelanjaan Persekutuan (Estimates of Federal Expenditure) menunjukkan bahawa beberapa item yang tidak jelas fungsinya telah diwujudkan di Jabatan Perdana Menteri sejak Najib memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri pada 2009, seperti Program Pembangunan (Development programme), Penyelarasan Program Pembasmian Kemiskinan (Coordination of Eradication of Poverty programme), Projek-projek Kecil (Small projects), Projek Khas (Special projects), Projek Mesra Rakyat (People-friendly projects) dan Dana Fasilitasi (Facilitation funds).

dana gelap jpm

Perdana Menteri memiliki budi bicara yang mutlak tentang bagaimana dana-dana ini hendak dibelanjakan. Setiap item tersebut melibatkan nilai jutaan ringgit bahkan mencecah billion ringgit pada jumlah keseluruhannya. Perincian perbelanjaan ini tidak dikemukakan kepada ahli-ahli parlimen, jauh sekali ke pengetahuan rakyat. Menerima hakikat bahawa institusi parlimen itu sendiri telah dicengkam dan dilemahkan fungsinya oleh parti pemerintah sejak sekian lama, perbelanjaan-perbelanjaan melibatkan item-item yang tidak jelas di bawah Jabatan Perdana Menteri ini tidak dapat disemak apatah lagi diaudit oleh mana-mana badan berwajib. ‘Dana gelap’ adalah istilah paling tepat untuk menjelaskan perkara ini.

Ironiya, dana-dana ini adalah diperuntukkan untuk kroni. Dengan ini, kami mendesak agar ‘dana gelap’ yang disalur masuk ke Jabatan Perdana Menteri itu dihapuskan dan dibasmi sehingga ke dasar. – Roketkini.com

*Liew Chin Tong merupakan Pengarah Pendidikan Politik DAP merangkap Ahli Parlimen Kluang manakala Dr. Dzulkefly Ahmad merupakan Pengarah Strategi Parti Amanah Negara