Berita

Kadar inflasi hartanah Pulau Pinang menurun sejak laksana dasar kawalan harga

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Kadar inflasi tahunan hartanah di Pulau Pinang menurun sehingga kurang 4% pada suku ketiga tahun lalu, berbanding kadar paling tinggi 16% pada suku terakhir 2013 ekoran dasar kawalan harga yang dilaksanakan di negeri itu.

Hal ini diutarakan Exco Perumahan Negeri, Jagdeep Singh Deo berdasarkan angka-angka Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) dalam sessi meja bulat Social City Roundtable di ibu negara semalam.

Jagdeep terlebih dahulu membentangkan permasalahan julat lonjakan harga hartanah di pulau terbabit sehingga dua kali ganda antara tahun 2008 hingga 2015, ekoran faktor-faktor termasuk permintaan, spekulasi hartanah serta kejatuhan matawang.

“Kejatuhan matawang negara menyebabkan warga asing mempunyai kuasa beli yang tinggi dan boleh membeli hartanah di Pulau Pinang.

“Satu dua juta untuk mereka seperti kacang putih,” katanya.

Tambah beliau lagi, langkah-langkah diambil kerajaan persekutuan untuk mengekang spekulasi hartanah serta menyediakan rumah mampu milik tidak memberi banyak kesan kepada Pulau Pinang lantaran negeri itu ditadbir gabungan Pakatan Harapan.

“Kita tidak boleh bergantung kepada Kerajaan Persekutuan,” ujar Jagdeep yang juga Adun Datuk Keramat, sambil membentangkan langkah-langkah kawalan yang diambil Kerajaan Negeri Pulau Pinang termasuk mengenakan kawalan harga dengan syarat minima keluasan lantai.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga terus komited menyediakan perumahan mampu milik bagi golongan berpendapatan sederhana rendah melalui kerjasama awam-swasta.

Setakat ini, 26,255 unit perumahan mampu milik sedang dalam pembinaan, dengan unit-unit pertama di Bandar Cassia dijangka siap pada Disember tahun ini. Manakala 11,550 unit bakal diusahakan sektor swasta di bawa garis panduan perumahan mampu milik Kerajaan Negeri.

Jagdeep bercakap di sidang meja bulat anjuran badan pemikir REFSA dengan kerjasama Yayasan Friedrich Ebert yang bertempat di Aloft, Kuala Lumpur.

REFSA turut menghadirkan Prof. Martin zur Nedden, Pengarag Institut Hal-ehwal Urban German dan juga Rene Bormann, ketua jawatankuasa kerja perancangan bandar Yayasan Friedrich Ebert yang berkongsi pentas pembentangan bersama Ahli Parlimen Serdang Dr Ong Kian Ming dan juga Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran. – Roketkini.com