Wawancara

Edry Faizal: Radikalisme berpunca dari perut

Bahagian 1: Edry Faizal: Reformis, Sekularis, atau Islamis?

Dalam usia 31 tahun, Edry Faizal komited dalam usahanya memberdayakan golongan muda. Menyelaras Sekolah Demokrasi mungkin turut menyumbang kepada pengukuhan idea dan halatuju politiknya. Tambahan pula, beliau berjawatan sebagai Ahli Majlis serta fasih berbahasa Mandarin.

Bagi Edry, golongan muda di negara ini, mungkin dirinya juga takkan lari dari satu harapan iaitu untuk memiliki kehidupan yang lebih baik secara umumnya.

edry2a

Mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Perbandaran Selayang

Mereka mahu memiliki sebuah kehidupan yang baik dengan pendapatan yang cukup, teratur, mempunyai tempat berteduh yang sempurna, malah berkeluarga dan mahu membina keluarga yang bahagia.

Bagaimanapun, harapan sekadar harapan. Tidak semua mampu melalui jalan mudah untuk mencapai angan-angannya terutama melibatkan soal pendapatan yang tidak mencukupi dan 1001 lagi masalah yang telah biasa kita dengar.

Justeru, masalah yang melanda anak muda dewasa ini khususnya melibatkan soal pendapatan atau kehidupan mereka tidak akan selesai tanpa menguruskan punca berlakunya masalah tersebut yang sudah tentu sebahagian masalah tersebut melibatkan dasar-dasar kerajaan.

Tanpa penanganan bijak kepada punca permasalahan yang melanda di kalangan golongan muda negara ini, golongan tersebut bakal berhadapan dengan isu yang lebih menekan dan mewujudkan kemungkinan-kemungkinan yang tidak wajar, malahan berilusi dalam sebuah dimensi palsu.

“Dia rasa terancam, rasa tak cukup dibantu. Satu lagi sudut yang agak merisaukan ialah apabila di kalangan anak muda Melayu kita nampak dia cuba nak cari tempat yang selamat.

“Ini aku nampak berdasarkan pengalaman aku menemuduga anak-anak muda yang kesemuanya Melayu yang mahu bekerja dalam sektor awam.

“Bila ditanya mengapa mahu kerja dalam perkhidmatan awam, hampir semua mengatakan pekerjaan dalam sektor awam lebih menjamin dan selamat,” jelas Edry.

Bagaimanapun, perasaan terancam ini juga berkembang ke jurang yang lebih mencemaskan dengan kemunculan fahaman radikalisme yang bertitik tolak daripada rasa terancam dan tertindas.

“Jika bercakap soal radikalisme, ia ada kena-mengena dengan idea merasa diri tertindas. Bila rasa tertindas, dia rasa dia sentiasa terancam, ditindas di segenap sudut, walaupun dia pegang kuasa.

“Ini tak mustahil, dari pendirian sebegini, kemudian ia merebak. Ada setengah orang dia akan pergi kepada retorik politik kaum, ada kepada radikal agama, ini semua bermula apabila dia rasa diancam dan tertindas.

“Rasa ancamannya ada dua, iaitu kaum dan agama. Bila dia rasa diancam, sesetengah itu dia perlu melawan. Jadi untuk melawan ancaman ini, ada yang memilih macam-macam, ada yang pilih jalan politik, ada yang menerima doktrin yang lebih radikal. Angkat senjata. Sehingga ada yang sanggup buat begitu,” jelasnya.

Dalam menyelesaikan pertelingkahan ini, sudah tentu campur tangan kerajaan amat mustahak fikir Edry. Malah, penyelesaian masalah tersebut perlulah mendasar kepada puncanya tambahnya lagi.

Dongeng dan realiti antara Melayu, hudud dan DAPedry_faizal_

Memasuki ruang senggama politik Malaysia tidak akan lari dari beberapa persoalan-persoalan yang melingkari kelompok budaya, bangsa dan agama meski setiap kita mungkin lebih terbuka. Namun, beberapa persoalan ini akan terus tenggelam timbul. Sudah sekian lama, DAP, Melayu, Islam dan hudud tidak dapat dipisah meski wujud percanggahan antara satu dengan yang lain.

Saya terus mengorek dalam pandangan Edry tentang soal ini. Yang terdekat dan sedang berlangsung; isu hudud-RUU355 misalnya.

“Jika RUU355, ia adalah mengenai memperluaskan kuasa Mahkamah Syariah. Betul, ada yang kata ini kemungkinan rangka besar kearah mencapai ‘hudud’, saya ada buat rencana panjang mengenainya.

Bagi Edry, usul pindaan RUU355 bukanlah isu kecil yang perlu dipandang simplistik kerana ia melibatkan soal pelaksanaan, soal pertindihan kuasa dan perundangan, dan yang terpenting adalah soal keadilan dalam sesebuah negara.

Perluasan kuasa Mahkamah Syariah ini bagi beliau hanya akan membesarkan lagi jurang dualiti dalam sistem perundangan negara.

“Seolah-olah sudah tak ada had lagi di situ yang mana kita tahu mahkamah tertinggi di Malaysia ialah Mahkamah Sivil.

“Bila diluaskan kuasa Mahkamah Syariah, ia akhirnya dikhuatiri mencakupi pelbagai skop. Akan wujud konflik. Dan konflik akan lebih besar dan sekarang pun sudah banyak polemik antara Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah,” kata beliau.

Menurutnya lagi, perluasan kuasa Mahkamah Syariah yang bakal meluaskan lagi konflik dengan Mahkamah Sivil bakal menimbulkan lebih banyak masalah.

“Kita dah tengok gejala-gejalanya sekarang seperti isu kebebasan, yang mana dijamin perlembagaan. Tetapi, bila ia sudah disentuh Mahkamah Syariah, misalnya dalam penerbitan buku dikatakan tidak patuh syariah, katalah kalau diluaskan kuasa Mahkamah Syariah, tidak mustahil suatu masa nanti orang yang memiliki buku yang ‘tidak patuh syariah’ boleh dihukum lebih berat di bawah mahkamah itu.

“Maka, meluaskan kuasa Mahkamah Syariah akan menimbulkan lebih banyak konflik dengan sivil, dan kita tak tahu mana hala tuju, kemana batas akhir kuasanya, adakah suatu hari akan menggantikan kuasa mahkamah sivil?” soal Edry.

“Pasti ada yang kata baguslah kalau kuasa Mahkamah Syariah ini diluaskan…” ujar saya.

“Adakah sebab namanya ada tertulis ‘syariah’ dan bunyinya Islam maka kita menyokong?” balas Edry.

Beliau mengemukakan contoh seperti apa yang telah berlaku terhadap Rayani Air.

“Semasa ia mula beroperasi dulu, semua orang suka, kata mereka ini penerbangan Islam, patuh syariah, pramugari pakai tudung, ada baca doa dan sebagainya.

“Apapun, ini semua adalah ‘rupa’. Islam yang dihadirkan dalam bentuk rupa, imej.  Kita semua bersorak. Semua suka. Bila ada orang persoal, dia dituduh tak suka Islam, Islamophobia. Tapi bila Rayani Air terbukti perkhidmatan operasinya buruk, gagal dan cacat, tiba-tiba saja semua cakap ini Rayani tidak Islamik.

“Ini pengajaran. Jangan melihat Islam itu sekadar rupa semata-mata. Kita kena lihat dari sudut yang pelbagai dan lebih luas, kena ambil kira keadilannya, kita kena ambil kira pintu-pintu fitnah yang kita buka akibat daripada pindaan RUU itu. Tak boleh bermudah-mudah dalam perkara ini,” tegas Edry.

Belajar dan bekerja dengan pantas

edry2

Terlibat dalam kerja-kerja kesukarelawanan Impian Kelantan

Edry telah menyertai DAP sejak tahun 2012. Baginya, perkara terpenting yang perlu ada bagi seseorang yang mahu terlibat aktif dalam politik adalah pengorbanan masa dan tenaga, begitu juga dengan tumpuan.

Sebagai Ahli Majlis yang baru, cabaran yang dihadapinya memerlukan kecekapan bekerja sambil belajar dengan pantas.

“Kita kena berkhidmat pada masa yang sama kita juga perlu belajar secepat yang mungkin tentang selok belok Kerajaan Tempatan. Belajar dan bekerja dalam satu masa yang sama, itu cabarannya, kita merasa tak boleh melengah kerana ada rakyat perlukan khidmat kita pada masa yang sama kita perlu cepat belajar, tahu serba serbi, itu cabaran dia,” katanya.

Antara perkara yang sering menjadi isu di kawasannya melibatkan soal kebersihan meliputi pengurusan sisa pejal, sapuan, pengurusan pokok dan penyelenggaraan selain isu kilang haram yang telah wujud sejak sebelum pembangunan perumahan dibangunkan.

“Ada pula isu kilang haram dimana kilang itu wujud sebelum kawasan itu digazet sebagai kawasan perumahan. Dia ada di sana dah berzaman, kemudian, kerajaan, suatu masa dulu luluskan perumahan. Akibatnya, kilang ini terkepung oleh perumahan. Disitu ada konflik antara kilang dengan perumahan. Jadi ini adalah dilema dan cabaran,” beliau berkongsi pengalamannya.

Namun, setiap kawasan majlis atau negeri memiliki dasar pemutihan kilang harap jelasnya lagi.

“Tak semestinya diroboh. Ia tergantung sama ada kilang itu diluluskan atau diberi tempoh tertentu untuk pindah. Bagi Majlis Perbandaran Selayang, biasanya tempoh paling lama ialah tiga tahun akan diberi,” kata Edry.

Alang-alang menyeluk perkasam…

Sebagai orang politik muda, sudah tentu Edry punya wawasan dan rancangan jangka panjang. Saya cuba mengorek tahu wawasannya. edryMungkin bukan sudah bukan rahsia lagi.

“Apa yang kau nak bawa dan perjuangkan jika tercalon, jika menang jadi wakil rakyat?” tanya saya.

Edry menjawab, perkara terpenting adalah untuk memberdayakan tiga kelompok masyarakat dan ia telahpun diusahakan di peringkat Majlis.

“Pertama ialah memberdayakan wanita, kedua adalah memperkasakan anak muda dan ketiga adalah memperkuatkan golongan yang terpinggir.

“Buat masa sekarang, aku sedang usahakan program-program kearah itu. Bukan program sekadar bagi bantuan semata-mata. Aku atur program supaya program ini boleh beri kemahiran dan sebagainya dan cuba atur supaya ia berterusan dan mereka boleh terus memperkasakan diri melalui pengetahuan dan program-program yang dilaksanakan.

“Jadi aku akan pastikan, misalnya jika mereka belajar buat coklat, kena pastikan dia sampai ke tahap boleh mandiri,” ujar Edry.

Perbualan kami berhenti di sini. Daripada celoteh panjang kami, saya dapat merasakan idea atau pandangan yang dilontarkan Edry perlu didokong semua.

Edry, salah seorang simbol kebangkitan kesedaran berpolitik di kalangan golongan muda. Tekad beliau hanya untuk memberikan khidmat bakti buat tanah air tercinta. Justeru, sudah tiba masanya golongan sebaya berani kehadapan dalam menyatakan pendirian dan menjadikan diri sedia untuk dipukul atau terpukul dengan takdir jatuh bangun Malaysia. – Roketkini.com