Rencana

Surat terbuka kepada Ketua Polis Negara dan PDRM

Tan Sri Ketua Polis Negara dan PDRM,

Saya menulis surat terbuka ini bagi mendapat jawapan kepada beberapa kerunsingan orang ramai terhadap perilaku anggota Umno berbaju merah yang diketuai Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Pertamanya, kenapa Jamal dan ketua-ketua samseng baju merah tidak ditahan dalam lokap sementara menunggu pertuduhan jenayah di mahkamah seperti yang biasa dilakukan terhadap orang awam yang didakwa melakukan kekerasan dan intimidasi jenayah?

Adakah laporan media dan rakaman video gelagat samseng budak-budak Jamal terhadap peserta konvoi Bersih 5 sepanjang dua minggu lalu palsu belaka?

Adakah rakyat sekarang boleh meniru aksi serangan samseng baju merah tersebut ke atas peserta konvoi Bersih 5, seperti menendang kereta, merosakkan cermin sisi kereta dan mencederakan serta mengugut orang lain di hadapan mata anggota polis tanpa risau akan ditangkap?

Atau adakah ini satu keistimewaan yang dikurniakan kepada samseng baju merah yang melakukannya atas nama Umno?

Adakah saya atau siapa-siapa sahaja kini dibenarkan undang-undang untuk menuduh sesebuah organisasi telah diresapi anasir Da’esh berdasarkan khabar angin seperti yang dilakukan oleh Jamal terhadap Bersih?

Adakah saya juga kini boleh membuat tuduhan liar terhadap sesiapa sahaja, contohnya terhadap Ketua Polis Negara dan Jamal, kononnya telah mengupah pengikut-pengikut untuk memalsukan akaun Facebook saya di mana saya mengulangi ugutan rusuhan kaum 13 Mei; sepertimana Jamal telah menuduh DAP dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam hal akaun yang didakwa palsu oleh Jamal semalam?

Jamal telah menulis di akaun Facebook beliau: “Ini mesti LGE DAP Ketua Menteri P.Pinang yang mengupah budak-budaknya memalsukan akaun FB saya.”

Jika saya membuat tuduhan tidak berasas terhadap Tan Sri Khalid Abu Bakar, adakah Tan Sri akan terus mengeluarkan arahan tangkapan melalui Twitter supaya saya diberkas kerana fitnah jenayah, kutukan dan caci maki terhadap reputasi baik Tan Sri?

Yang benar,

LIM LIP ENG

Ahli Parlimen Segambut