Rencana

Kenyataan penuh Pegawai Khas Undang-undang Ketua Menteri Pulau Pinang, jawab Nasrudin Tantawi

Ahli Parlimen Temerloh, YB Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi (“YB Nasrudin”) cuba mengalihkan isu gagal membuat bayaran kos RM10,000 yang diperintahkan oleh Mahkamah dengan menimbulkan perkara-perkara yang kurang relevan. Fakta-fakta yang berikut adalah jelas sebagai jawapan kepada beliau –

Isu 1: Penghakiman termeterai telah diterima pada 19.9.2016
Penghakiman termeterai (sealed Order) dengan tuntutan pembayaran RM10,000 telah diserahkan oleh peguam kami kepada peguamcara YB Nasrudin. Walaupun YB Nasrudin berada di luar negara sehingga akhir September 2016, pihak kami tidak pernah menerima apa-apa permohonan lanjutan masa untuk pembayaran daripada YB Nasrudin dan/atau peguam beliau dalam tempoh tersebut. Dalam zaman internet ini yang membolehkan komunikasi merentasi sempadan negara dengan cepat, takkan payah sangat untuk YB Nasrudin memaklumkan kepada kami bahawa beliau perlukan masa untuk membayar?

Isu 2: Peringatan pembayaran
Memandangkan tiada bayaran diterima sebelum luputnya tempoh pada 2.10.2016, maka peringatan pembayaran RM10,000 kepada YAB KM telah dihantar pada 7.10.2016 dan diterima oleh firma peguam YB Nasrudin pada 11.10.2016. Bayang bayaran masih tidak kelihatan selepas 3 minggu tetapi YB Nasrudin sebaliknya memilih untuk menyerang tindakan saya dalam mengeluarkan kenyataan akhbar semalam.

Isu 3: Penghinaan mahkamah
Meskipun saya mempunyai kelulusan undang-undang dan pengalaman, saya terharu dengan kesanggupan YB Nasrudin untuk mengajar pemahaman konsep dan prosedur undang-undang.

Beliau harus ingat bahawa Penghakiman Persetujuan tersebut ialah arahan daripada Mahkamah yang Mulia untuk beliau membuat bayaran sebanyak RM10,000 kepada YAB KM sebagai kos serta membuktikan bahawa beliau menzahirkan perasaan kesal beliau atas tuduhan yang tidak berasas ke atas YAB KM dan menarik balik artikelnya.

Hakikatnya, Penghakiman Persetujuan telah diserahkan kepada peguam beliau seawal 19.9.2016. Sekiranya beliau gagal atau enggan membayar jumlah yang diperintahkan, bukankah itu satu pengingkaran? Dan tanpa mengambil kira pemakaian terma undang-undang, bukankah tindakan ingkar itu secara literal terjumlah kepada penghinaan?

Isu 4: Bayaran kos sebanyak RM500 tidak dituntut daripada YAB KM
Bayaran kos RM500 masih tidak dituntut oleh peguam YB Nasrudin daripada YAB KM sehingga hari ini. Saya berharap beliau mendapatkan penjelasan penuh daripada peguamnya memandangkan –

Perintah Mahkamah termeterai yang berkenaan tidak pernah diserahkan kepada peguam YAB KM. Surat terakhir daripada peguam YAB KM kepada peguam beliau berhubung dengan perkara ini adalah setakat 3.10.2014; dan

selepas 3.10.2014, tiada apa-apa tuntutan bayaran pernah dihantar kepada peguam YAB KM sehingga hari ini.

Berdasarkan fakta-fakta diatas, tidak wujud isu YAB menghina perintah Mahkamah kerana tidak ada sebarang tuntutan dibuat ke atas YAB KM. Sebaliknya, eloklah YB Nasrudin menyemak fakta yang betul sebelum mengetengahkan isu sebegini.

Isu 5: YAB KM belum membuat tuntutan tambahan kos sebanyak RM2,000 daripada YB Nasrudin
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan YB Nasrudin bahawa tatkala Mahkamah yang Mulia menolak permohonan beliau untuk mengetepikan saman fitnah YAB KM pada 20.4.2015, Mahkamah telah memerintahkan YB Nasrudin untuk membayar kos sebanyak RM2,000 kepada YAB KM. Akan tetapi, peguam YAB KM masih belum membuat tuntutan kos RM2,000 daripada YB Nasrudin.

Peguam YAB KM telah diberikan arahan untuk menuntut bayaran ini daripada YB Nasrudin dengan secepat mungkin. Dalam pada ini, harus juga ditekankan bahawa jumlah kos RM10,000 (dan RM2,000 yang akan dituntut kelak daripada YB Nasrudin) akan diberikan kepada peguam YAB KM. Tidak sesen pun daripada jumlah tersebut akan YAB KM simpan.

Saya berharap penjelasan di atas memadai. Harap YB Nasrudin dapat menerima hakikat bahawa beliau telah melahirkan perasaan kesal dan menarik balik artikelnya tanpa syarat selepas disaman malu oleh YAB KM dan diarahkan membayar kos RM10,000. Janganlah cuba menegakkan benang yang basah! – Roketkini.com

*Raja Syarafina ialah Pegawai Khas Undang-undang kepada Ketua Menteri Pulau Pinang