Berita

Ahli Parlimen UMNO taja parti Cina mahu buat kasino di Pulau Pinang?

GEORGE TOWN, 13 OKT: Sebuah parti Cina baru sedang memasang angan-angan untuk mengalahkan DAP dan Pakatan Harapan di Pulau Pinang dalam pilihanraya umum akan datang. Bukan sahaja itu, parti ini turut bercita-cita untuk menjadikan negeri Pulau Mutiara itu seperti Macau dengan membina pusat judi kasino.

Lebih menarik lagi, parti Cina ini ditaja pemimpin UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga Ahli Parlimen Padang Besar.

Mengulas perkara tersbut, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menegaskan bahawa pusat kasino adalah berlawanan dengan dasar Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri Pakatan Harapan telah mengambil dasar untuk mengekalkan aktiviti perjudian yang sedia ada dan tidak memperluaskan kegiatan judi baru di Pulau Pinang.

“Itulah sebabnya apabila Menteri Kewangan meluluskan lesen judi bola pada tahun 2010, Kerajaan Negeri Pulau Pinang merupakan negeri yang pertama menolak dan mengharamkannya.

“Sungguhpun begitu, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan, DAP dan saya sering difitnah sebagai anti-Islam dan anti-Melayu,” ujar Guan Eng.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP justeru mendesak UMNO supaya meminta maaf atas perbuatan Zahidi, apatah lagi kerana UMNO sendiri menganggap partinya sebagai pembela agama.

“Mereka bukan sahaja harus meminta maaf dan mengambil tindakan ke atas Ahli Parlimen mereka, tetapi harus dengan serta-merta membubar parti Cina baru tajaan pemimpin UMNO ini yang dikatakan telah mendapat kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” tegas beliau.

Rakyat Pulau Pinang katanya, mempunyai pilihan jelas antara Pakatan Harapan yang menolak pembinaan kasino judi ataupun Barisan Nasional, di mana UMNO sendiri bersedia menaja parti Cina baru untuk membina kasino.

Penang Front Party (PFP) didaftarkan pada 9 September tahun dan mendakwa telah mendapat sokongan lebih 100 NGO Cina. Namun parti tersebut belum mendedahkan senarai sokongan tersebut sehingga sekarang. – Roketkini.com