Berita

Jangan berlakon, BN dicabar hantar bantahan jika betul tidak setuju dengan SPR

SHAH ALAM, 13 OKT: DAP mencabar kepimpinan Barisan Nasional (BN) untuk menyatakan pendirian tegas terhadap cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menjadi pertikaian pelbagai pihak termasuk daripada komponen parti pemerintah itu sendiri.

Penolong Setiausaha DAP Selangor, Dr Ong Kian Ming berkata, BN harus menunjukkan kesungguhan dengan menghantar borang bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan cadangan berat sebelah dan membelakangi Perlembagaan yang dibawa agensi itu.

“Saya cabar BN untuk kemukakan bantahan kepada SPR jika benar-benar tidak bersetuju dengan cadangan SPR itu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPR Selangor di sini, hari ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Serdang berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita mengenai rungutan sama yang ditumbulkan parti komponen BN termasuk UMNO terhadap cadangan berkenaan.

whatsapp-image-2016-10-13-at-11-30-28Adun Kota Alam Shah, V. Ganabatirau dalam sidang media yang sama bagaimanapun menempelak BN yang didakwa berpura-pura tidak bersetuju dan tidak berpuas hati dengan cadangan yang dirangka SPR itu, sedangkan ia sebenarnya memberi kelebihan kepada parti pemerintah itu.

“Itu semua sandiwara BN,” katanya ringkas.

Terdahulu, Adun-adun DAP Selangor, Ng Sze Han (Kinrara); Eddie Ng Tien Chee (Balakong) dan Lau Weng San (Kampung Tunku) menghantar borang bantahan bersama 100 tandatangan pengundi kepada SPR.

Ng Sze Han yang juga merupakan Bendahari DAP Selangor berkata, kawasannya yang sekarang ini berada dalam Parlimen Puchong akan dimasukkan ke dalam kawasan Parlimen Subang, yang dahulunya pula dikenali sebagai Parlimen Kelana Jaya sekiranya cadangan berkenaan diluluskan.

Katanya, ia akan mendatangkan masalah kepada wakil rakyat untuk mengurus kebajikan penduduk dan mengakibatkan kekeliruan kepada pengundi di kawasan berkenaan, malah akan menjejaskan pembangunan yang telah dirangka dan sedang dilaksanakan.

whatsapp-image-2016-10-13-at-11-30-22“Perkara sebegini benar-benar tidak adil. Mengapa perkara sebegini terjadi? Ini yang saya rasa SPR perlu betulkan,” tegasnya.

Eddie Ng pula berkata, mengikut cadangan SPR itu, kawasannya akan mengalami pertambahan pengundi berbanding PRU yang lalu dan didakwa telah melebihi jumlah purata pengundi DUN di negeri Selangor iaitu 36,000 pengundi.

“Pengundi di kawasan Balakong telah ditambah daripada 42,829 pengundi kepada 51,594 berbanding PRU yang lalu. Saiz kawasan juga bertambah, dengan kemasukan pengundi dari Sungai Chua.

“Ini menunjukkan bahawa SPR telah gagal untuk melaksanakan tugas mereka iaitu untuk memastikan bahawa jurang perbezaan di antara kerusi DUN dari segi pengundi dikurangkan.” ujarnya.

Katanya, meskipun SPR mungkin tidak akan mendengar bantahan yang dikemukakan oleh pihak Pakatan Harapan, ketidakadilan agensi pengendali pilihan raya itu harus tetap ditentang.

“Peluang untuk mereka (SPR) dengar bantahan kami ini adalah tipis, kerana memang jelas nampak SPR memihak kepada BN, dan persempadanan kali ini adalah untuk membantu BN terutamanya UMNO untuk kembali berkuasa di Selangor,” tambahnya.

Pakatan Harapan sebelum ini mendakwa cadangan SPR itu telah melanggar Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Negara serta membelakangi prinsip demokrasi “satu orang, satu undi”, selain mewujudkan polarisasi kaum di kawasan-kawasan tertentu.

Pakatan turut menuntut penjelasan daripada SPR ekoran tidak ada penambahan kerusi DUN dan Parlimen walaupun pengundi di Selangor mengalami peningkatan 700 ribu pengundi daripada 1.4 juta pengundi pada PRU yang lalu.

Malah, Pakatan menegaskan bahawa akses jalan yang hampir sempurna di semua daerah di Selangor sepatutnya menjadikan jumlah pengundi di semua kawasan DUN sekata, sekaligus pengecualian Jadual Ketiga Belas Perlembagaan kepada kawasan pedalaman tidak terpakai dalam perkara tersebut. – Roketkini.com.