Berita

Pembalakan kaedah ‘cuci mangkuk’ jejas teruk pendapatan Orang Asli Gua Musang

GUA MUSANG, 14 OKT: Kemusnahan hutan tidak terkawal akibat pembalakan negeri ini bukan sahaja menjadi salah satu punca bah besar pada 2014 lalu tetapi juga telah menyebabkan sumber pendapatan masyarakat orang Asli Temiar disini terjejas teruk.

gm3-mustafa

Mustafa Along, Setiausaha JKOAK

Pendapatan mereka terjejas kerana banyak pokok yang menjadi sumber makanan dan pendapatan penduduk orang asli di sini musnah akibat kaedah pembalakan ‘cuci mangkuk’ dari syarikat balak yang mendapat lesen dari kerajaan Pas Kelantan.

Kaedah pembalakan ‘cuci mangkuk’ merupakan kaedah pembalakan yang memotong semua pokok balak dalam sesebuah kawasan. Pembalakan jenis ini berbeza dengan kaedah ‘penandaan’ di mana hanya pokok tertentu sahaja di benarkan dipotong.

Menurut Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Mustafa Along, proses penebangan balak sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an dan sebelum tahun 2006 adalah berbeza dengan kaedah yang digunapakai saat ini.

gm2

Pembalakang ‘cuci mangkuk’ musnahkan habitat flora dan fauna hutan

“Dulu kerajaan ambil cara berhemah, dia gunakan penebangan mengikut sukatan, tak dengar pun orang asli kacau.

“Tapi bila tebang balak sampai habis (cuci mangkuk), kita rasa hak untuk hidup terganggu, air bersih pun tak dapat,” katanya kepada Roketkini di Blockade Simpang Petei, Pos Tohoi.

Mustafa berkata, akibat kemusnahan tersebut, pendapatan dan sumber makanan penduduk Orang Asli di beberapa buah kampung di sini terjejas menyebabkan mereka terpaksa turun ke bandar Gua Musang.

“Macam sekarang ni, rakan-rakan (terpaksa ambil masa) empat hingga lima jam nak ke Gua Musang (bandar) nak beli makanan. Empat jam tu satu jarak yang jauh tapi (terpaksa), pendapatan pula tak ada banyak,” ujarnya.

Majoriti masyarakat Orang Asli Temiar di kawasan terjejas akibat pembalakan khususnya di beberapa buah kampung dalam wilayah Pos Gob, Pos Bering dan Pos Simpor bergantung kepada hasil hutan selain menjalankan penanaman ubi kayu, pisang dan padi bukit.

Pendapatan tidak sampai RM100 sebulan, petrol RM5 seliter

Bagaimanapun, setelah pembalakan besar-besaran dijalankan di sana, hasil pendapatan mereka juga jatuh mendadak.

gm5-shaari

“Sebab itulah kalau kami orang asli tiada tanah, dah musnah, kami matilah”, kata Shaari penduduk Pos Simpor.

Seorang penduduk bernama Suni, 26, memberitahu pendapatan yang diperolehnya dalam sebulan hanyalah sekitar RM60.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata, sumber hutan yang semakin berkurangan menyebabkan kehidupan mereka semakin terhimpit.

“Sekarang ni nak cari ikan (di sungai) pun tak boleh,” katanya merujuk kepada pencemaran sungai yang teruk setiap kali hujan.

Lebih mengejutkan, beliau mengadu dalam keadaan pendapatan yang semakin merosot, kos barang keperluan di kawasan itu jauh lebih tinggi dari harga biasa memandangkan kedudukannya di kawasan pedalaman.

“Harga gula sekilo ada dalam RM4, harga petrol sampai RM5 satu liter,” dedahnya kepada Roketkini.

gm6-asmi

“Sekilo pisang 80 sen,” kata Asmi.

Shaari bin Asip dari Pos Simpor memberitahu, jika dahulu penduduk kampung di kawasannya boleh bergantung kepada banyak sumber hutan seperti buah dan pokok-pokok herba yang boleh menjadi sumber pendapatan, kini ia semakin sukar di cari.

“Sini ada pokok manong, buah perah, kayu gaharu, dan macam-macamlah spesis pokok dalam hutan ni.

“Sebab itulah kalau kami orang asli tiada tanah, dah musnah, kami matilah,” ujarnya.

Asmi, 30 dari kawasan Pos Brooke berkata, pendapatannya menjual pisang sekitar RM40 sebulan dengan harga RM0.80 sekilogram.

Pendapatan yang diperoleh sudah tentu amat sedikit bagi menampung keperluan tiga orang anak dan isteri. Beliau justeru mahu supaya isu pembalakan ini diselesaikan segera.

gm7-404-hektar

Salah satu kawasan seluas 404 hektar diluluskan kerajaan Pas Kelantan kepada syarikat balak.

Tinjauan Roketkini bersama penganjur Royalti (R) Malaysia dan beberapa NGO serta media lain ke kawasan terjejas pembalakan pada 10 dan 11 Oktober lalu mendapati, kawasan paling terjejas dan gondol akibat pembalakan adalah di Pos Gob yang bersempadanan dengan negeri Perak.

Selain kekurangan sumber pendapatan dan makanan, masyarakat Orang Asli khususnya di Blockade Simpang Petei mengalami kekurangan sumber air bersih dan ada yang dilapor mengalami demam dan cirit birit.

Keadaan bertambah buruk apabila baru-baru ini, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan telah mula mengadakan sekatan kepada orang luar dari memasuki ke blockade berkenaan dan kawasan sekitar yang terjejas akibat pembalakan untuk menghantar bantuan. – Roketkini.com