Budaya

Falsafah menifestasi cinta dan gagalisme

Sebagai manusia kegagalan itu menjadi lumrah hidup apatah lagi kegagalan dalam cinta, setiap manusia itu pasti ada pengalamannya tersendiri. Pernah atau tidak kita mengetahui bahawasanya kebanyakan ahli sarjana dan ahli falsafah gagal dan cinta mereka ditolak. Demikianlah ahli-ahli falsafah seperti Muhiyideen Ibn Arabi, Friedrich Nietzsche, Khalil Gibran hatta Buya Hamka sekali semuanya pernah gagal dalam percintaan mereka, semuanya “gagalist”.

Paling sedih adalah Buya Hamka kerana cintanya ditolak sebanyak dua tiga kali dan begitu juga Nietzsche apabila beliau bertemu dengan seorang gadis bernama Lou Salome, terus Nietzsche membuat pengakuan cinta kepada gadis itu hari berikutnya. Agak pelik dan ganjil bertemu hari pertama dan terus membuat pengakuan cinta hari berikutnya, mana mungkin diterima cintanya lainlah jika kita kacak seperti Brad Pitt atau Justin Timberlake. Oleh itu kita perlu ada sifat sedar diri apabila bercinta. Namun begitu disebabkan kegagalan mereka inilah hasilnya karya-karya yang begitu hebat sekali. Karya seperti Dibawah lindungan kaabah, Tenggelamnya kapal Van Der Wijick, Tarjuman al Asywaq (Tafsir Kerinduan), Fusus al Hikam dan banyak lagi.

Perkataan filsuf dalam bahasa arabnya adalah ahlul kalam, iaitu perkataaan “kalam” maksudnya kata-kata dan fi’il kepada kalam adalah “takalam” iaitu bercakap. Dalam erti lain ahlul kalam atau ahli filsuf ini adalah orang sedang bercakap. Apa perbezanya apabila seorang ahli falsafah dan seorang insan biasa apabila mereka bercinta?

Menurut Ustaz Wan Ji Wan Hussin apabila beliau membuat kupasan tentang pandangan Murtadha Muthahhari terhadap konsep Irfan, tetapi beliau mengklasifakasikan manusia biasa itu sebagai si sufi.

“Terdapat dua kalangan manusia diletakkan di satu bilik. Kedua-duanya dihijabkan dengan sehelai kain penghadang. Di sebelah kanannya, adalah seorang pelukis, sedangkan disebelah kirinya adalah seorang yang sedang mencuci cermin. Apabila dibuka hijab penghadang tadi, di pihak pelukis mempamerkan lukisannya yang indah, sedangkan dipihak pencuci cermin mempamerkan cermin yang dicucinya. Maka kelihatan lukisan yang cantik pada pihak pelukis, sedangkan dipihak pencuci cermin, kelihatan gambar lukisan yang dilukis oleh pelukis tadi.

“Di pihak pelukis mendakwa bahawa dia yang paling baik kerana dia yang menghasilkan lukisan, sedangkan di pihak pencuci cermin mendakwa bahawa dia yang paling baik kerana tindakan melukis itu membuang masa, sebaliknya memadai dengan mencuci cermin dengan sebaiknya sudah mencapai keindahan lukisan. Menurut Mutahhari, si pelukis itu diumpamakan sebagai ahli falsafah sedangkan si pencuci cermin diumpamakan sebagai ahli sufi.”

Cinta itu adalah mencintai jika tidak mencintai maka tidak cinta. Contohnya, saya mencintai seorang perempuan, dan cinta yang diberi, ditolak oleh perempuan tersebut kerana hatinya sudah dimiliki oleh orang lain maka percintaan itu tidak terjadi. Akan tetapi, jika cinta yang diberi itu diterima oleh seseorang perempuan yang dicintai maka percintaan itu terjadi.

Dalam metafizik cinta, bayangkan sifat cinta ini bagaikan satu barang, apabila si lelaki memberi barang(cintanya) ini kepada si perempuan, si perempuan pula membalas balik barang(cinta) si lelaki dengan barang(cinta) yang sama, yang diberi oleh barang(cinta) si lelaki. Terciptalah satu bulatan dan pusingan cinta yang satu dan sama.

Dari sudut bahasa arab pula, perkataan cinta iaitu marhaba berasal daripada perkataan habba iaitu benih. Disini kita dapat lihat bahawa cinta itu bertumbuh bagaikan daripada benih kepada sesuatu tumbuhan yang besar. Justeru, lagi besar hati jantung seseorang itu, lagi besar lah kapasiti cinta, lagi kecil hati jantung seseorang itu, lagi kecil kapasiti cinta itu.

Para sarjana menyatakan sifat cinta itu boleh timbul kerana tiga perkara:

Pertama adalah cinta fizikal iaitu jamalul zahir, seseorang insan akan sentiasa ada satu perasaan cinta/suka dan tertarik kepada perkara-perkara yang cantik. Misalnya, kita kini hidup dalam era modernisme di mana manusia berpusu-pusu membina struktur bangunan yang megah, mengapa? Sesungguhnya Dialah yang meletakkan sifat cinta terhadap kecantikan kepada hati manusia. Oleh sebab itu, manusia itu mudah tertarik kepada benda-benda yang cantik.

Kedua adalah cinta batini, cinta yang lahir disebabkan nilai-murni dalam erti lain akhlak. Confucious dalam The Analect menyebut bahawa

“When you see a good person, think of becoming like her/him. When you see someone not so good, reflect on your own weak points.”

Ertinya sifat-sifat mahmudah (terpuji) mampu untuk memberi inspirasi dan menyebabkan tercetusnya perasaan cinta.

Jenis cinta terakhir sekali, adalah cinta ihsan. Karya Prof Dr Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Wijck mengisahkan cinta tidak kesampaian seorang pemuda kampung miskin yang tidak punya saudara bernama Zainuddin terhadap seorang gadis daripada keluarga ternama bernama Hayati. Babak yang paling menarik sekali adalah ketika Zainuddin mengorbankan dirinya ditimpa hujan kerana memberi payungnya kepada Hayati lantas Hayati pun jatuh cinta dengan Zainuddin.

Dalam bayangan ini, kita dapat lihat.cinta yang dilahirkan atas pengorbanan. Adakala manusia itu merasakan sifat cinta di atas pengorbanan orang lain terhadap diri kita. Sebagai contoh, pengorbanan seorang ibu terhadap anak, pengorbanan seorang suami terhadap isterinya dan pengorbanan seorang kekasih terhadap kekasihnya. Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah pengorbanan itu tindak balas tercetusnya sifat cinta.

Apabila bertemu ketiga-tiga jenis sifat cinta ini maka seorang itu sudah mencapai satu maqam yang tinggi dalam percintaan.

Jika diteliti benar falsafah secara metafizik, cinta itu bagaikan minyak wangi. Dalam syair arab Layla dan Majnun ketika Majnun atau nama sebenar beliau Qias. Pada ayat pertama syair, kata beliau:

Aku melewati dinding ini, dinding Layla,
Dan aku mencium tembok ini dan dinding ini,
Bukanlah cinta dari rumah-rumah yang telah mengambil hatiku.
Tapi Dia yang berdiam di rumah-rumah.

Bagaimana hal ini boleh terjadi? Bayangkan minyak wangi mengeluarkan baunya yang indah ia meninggalkan kesan wanginya. Keadaan yang sama berlaku pada sifat cinta, ketika seseorang itu mencintai seseorang itu, maka segala yang berkenaan dengan seseorang itu pun akan dicintai.

Misalnya jika seseorang itu makan ais krim di waktu pagi, sesuatu tindakan yang pelik bagi norma-norma sosial akan tetapi apabila datangnya sifat cinta, keadaan yang dilihat sebagai pelik menjadi sesuatu yang tidak lagi pelik kerana telah datang sifat cinta. Begitu juga apabila sesorang itu pergi ke kedai tiba-tiba melihat ais krim yang pernah dimakan oleh kekasihnya, pantas tindak balas memori ingatan kekasihnya terus berlaku. Minyak Wangi meninggalkan kesan wangian dan cinta meninggalkan kesan cinta.

*Shukri Mokhtar adalah Ahli Jawatankuasa DAPSY Subang