Budaya

Mengenali Thirukkural – Bahagian 8

Sikap merendah diri merupakan ciri insan yang berhemah dan berpekerti mulia. Individu seperti ini juga akan mampu mengawal diri serta menguasai mindanya daripada melakukan apa-apa yang membawa keburukan.

Hal-hal berkaitan hakikat ini dihuraikan secara penuh puitis oleh Thiruvalluvar menerusi 10 kural yang terkandung dalam Bab 13 teks Thirukkural.

Seperti dinyatakan dalam Kural 121, seseorang yang berbudi pekerti dan merendah diri mampu mencapai kedudukan tinggi; sama seperti golongan vasu (dewa-dewi) di kayangan. Manakala, individu yang mengabaikan aspek moral dan etika akan terhumban dalam kehidupan yang penuh dengan kegelapan dan penderitaan.

Dalam kehidupan serba moden dan penuh cabaran, nilai-nilai murni dan sikap merendah diri mungkin dianggap tidak membawa sebarang keuntungan dan kebaikan. Ramai yang dilihat secara terang-terangan mengabaikan sifat merendah diri dan kesopanan, tetapi tetap menjadi terkenal dalam hidup.

Thiruvalluvar mengingatkan menerusi Kural 122 bahawa sikap merendah diri dan pekerti mulia perlu dijaga dan dipelihara sebagai harta yang amat bernilai. Hal ini kerana tiada harta yang lebih bernilai dalam kehidupan berbanding sikap merendah diri.

Kita perlulah berusaha menimba ilmu menerusi saluran yang betul. Apabila sudah berilmu, tidak perlulah mempromosikan diri secara keterlaluan. Misalnya, tidak perlulah mendabik dada dan mewajibkan orang lain memanggil kita dengan gelaran “Doktor” selepas tamat pengajian peringkat doktor falsafah.

Sebaliknya, sebagaimana dinasihatkan dalam Kural 123, kita perlu terus merendah diri dan menggunakan ilmu dan kepakaran yang dimiliki untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Biarlah ilmu yang kita miliki itu menyinar sendiri, tanpa dipromosikan oleh kita sendiri.

Ketinggian kedudukan seseorang yang berilmu serta sentiasa merendah diri adalah lebih tinggi daripada gunung. Demikian perbandingan yang dikemukakan dalam Kural 124 untuk menegaskan betapa sikap kesopanan, berbudi dan merendah diri penting dalam kehidupan manusia.

Sikap merendah diri ini perlu ada pada diri setiap manusia tanpa mengira latar agama, etnik, budaya, kedudukan ekonomi, sosial dan pendidikan. Sama ada peminta sedekah atau jutawan atau politikus, aspek merendah diri dan berpekerti mulia perlu menjadi amalan.

Selain daripada itu, sebagaimana dinyatakan menerusi Kural 125, sekiranya golongan kaya-raya memiliki sifat merendah diri, maka sifat terpuji itu menjadi umpama harta yang membuatkan mereka lebih kaya. Sebaliknya, tanpa sikap merendah diri, harta yang dimiliki tiada gunanya.

Sebagai tambahan kepada sikap merendah diri, Thiruvalluvar turut menyentuh mengenai perbuatan mengawal diri. Dalam Kural 126, pendeta itu memberikan contoh kura-kura yang mampu mengawal serta melindungi kepala dan empat kakinya dengan cara menariknya masuk ke dalam kulit yang keras.

Sekiranya seseorang mampu mengawal nafsu dan pancaindera, maka dia mampu hidup bahagia bukan hanya dalam kehidupan ini, tetapi dalam kesemua tujuh kelahiran. Untuk makluman, dalam budaya India, setiap orang dipercayai lahir semula ke bumi sebanyak tujuh kali.

Kalau anda sukar mengawal pancaindera, sekurang-kurangnya kawallah lidah. Jika tersilap tutur kata, kesan buruk akan terasa amat lama. Demikian terjemahan saya terhadap makna yang terkandung dalam Kural 127.

Sekiranya tadi dinyatakan mengenai perbuatan mengawal kelima-lima indera – mata, telinga, lidah, hidung, kulit – tetapi pada kali ini ditegaskan bahawa indera yang paling perlu dikawal adalah lidah. Hal ini demikian kerana kata-kata yang diucapkan boleh meninggalkan kesan yang mendalam bagi tempoh yang sangat lama.

Sepatah kata yang melukakan hati orang bukan hanya memberikan kesan jangka pendek. Sebaliknya, sebagaimana diterangkan dalam Kural 128, tutur kata yang negatif itu akan menyebabkan orang ramai tidak lagi mempercayai kata-kata kita pada masa hadapan. Malah, mereka akan meragui segala kebaikan yang pernah kita lakukan selama ini.

Kural 129 sangat terkenal dalam kalangan penutur Bahasa Tamil. Kural ini sering dituturkan juga dalam dialog filem Tamil, dan dimasukkan sebagai lirik lagu. Bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa ia sebenarnya petikan daripada Thirukkural.

Sekiranya kulit melecur akibat terkena api, luka itu akan sembuh walaupun mungkin mengambil sedikit masa. Akan tetapi, jika luka itu terhasil akibat tutur kata yang tidak sesuai dan lidah yang tidak terkawal, maka luka berkenaan tidak akan sembuh, dan parutnya akan sentiasa ada sepanjang hidup.

Kandungan kural di atas bersifat universal dan dapat diterima dalam budaya masyarakat seluruh dunia. Demikianlah antara keunikan Thirukkural kerana walaupun ditulis di negara India dalam suasana budaya India, tetapi mesej, moral, etika dan nilai yang terkandung di dalamnya bersifat sejagat.

Tuhan hanya akan membantu orang yang membantu diri sendiri. Pandangan ini juga bersifat universal dan menjadi sebahagian amalan semua agama di serata dunia.

Sekiranya seseorang melakukan kebaikan kepada orang lain, maka tanpa disedari, kebaikan akan datang kepadanya dalam jumlah berlipat kali ganda.

Menerusi Kural 130, digambarkan tentang seorang yang sentiasa mengawal pancaindera, berusaha menimba ilmu, sedia berkongsi ilmu, dan sentiasa merendah diri. Individu yang memiliki segala sifat positif ini pasti akan disukai ramai. Tambahan pula, dia melakukan kebaikan kepada orang.

Maka, segala bentuk kebaikan akan mula mencarinya. Apabila aura positif terpancar dari dalam diri kita, maka aura positif lain akan tertarik untuk mendekati kita. Rasional ini amat mudah difahami, misalnya menerusi The Law of Attraction.

Bagi seseorang yang memiliki segala sikap baik ini, maka pelbagai kesan positif dan aura baik akan datang sendiri ke dalam hidupnya. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa ajaran dan nasihat dalam Bab 13 teks Thirukkural boleh dijadikan panduan yang membawa kebaikan menerusi saluran yang betul.

* Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).