Berita

DAP mahu kerajaan beri pencen kepada atlet kejohanan Paralimpik terdahulu

KUALA LUMPUR, 18 OKT: DAP menyeru Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar memberikan insentif berbentuk pencen bulanan kepada atlet Paralimpik yang pernah menyumbang jasa dan pingat kepada negara dalam kejohanan itu sebelum ini.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke berkata, sumbangan mereka dalam mengharumkan nama negara di persada antarabangsa perlu diberi pengiktirafan yang serupa seperti atlet Paralimpik yang berjaya membawa pulang pingat emas dalam kejohanan itu tahun ini.

“Saya faham bahawa insentif untuk pemenang pingat (kejohanan baru-baru) ini tidak boleh digunapakai untuk atlet-atlet sebelum ini.

“Tetapi sekurang-kurangnya, kita (wajar) memberikan pencen bulanan kepada (bekas) atlet-atlet ini,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, semalam.

Perumal Mariappan, 58, merupakan atlet Paralimpik pertama negara yang telah memenangi pingat gangsa bagi acara angkat berat dalam kejohanan berkenaan pada 1988 dan 1992.

Namanya mula disebut-disebut semula setelah KBS mengumumkan bahawa atlet Paralimpik yang memenangi pingat di kejohanan itu akan diberikan ganjaran yang adil dan saksama seperti atlet normal.

Muhamad Ridzuan Mohamad Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly telah menerima ganjaran RM1juta dan pencen kerana berjaya merangkul pingat emas dalam acara masing-masing di temasya sukan olahraga berprestij dunia itu bulan lalu.

Terdahulu, Anthony Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban turut menyokong usul yang dibawa Menteri KBS, Khairy Jamaluddin untuk merakamkan ucapan tahniah kepada atlet yang memenangi pingat dalam kejohanan tersebut di Rio, Brazil pada September lepas. – Roketkini.com