Berita

Diancam bunuh, Maria Chin wajar diberi perlindungan polis

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Polis digesa menyediakan perlindungan sepanjang waktu kepada tiga pemimpin utama BERSIH yang menerima ancaman bunuh dalam bentuk bergambar yang disunting seakan-akan aksi militan IS mengacukan pisau ke arah tebusan.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago turut menggesa agar polis dengan segera menyiasat dalang di sebalik manipulasi gambar berkenaan yang didakwa dibuat bertujuan untuk menakut-nakutkan mereka.

“Kita tidak boleh benarkan ancaman keganasan dan pergolakan (seumpama itu) menjadi satu macam norma dalam politik atau digunakan sebagai alat (bagi sesiapa) untuk terus berada di tampuk kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengerusi BERSIH 5, Maria Chin Abdullah, Pengerusi 2.0, Datuk Ambiga S Ambiga serta Pegawai Urus Setia BERSIH, Mandeep Singh menerima ancaman berkenaan semalam.

Maria Chin seperti yang dilaporkan media telah mengesahkannya, malah, akan membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan petang ini.

BERSIH 5 telah menerima pelbagai ancaman dan provokasi daripada samseng UMNO yang diketuai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos sejak penganjur perhimpunan aman tersebut melancarkan konvoi ke seluruh negara pada 8 Oktober lepas.

Charles berkata, demonstrasi jalanan adalah sebahagian daripada hak demokrasi yang dijamin oleh Perlembagaan negara, justeru harus dihormati tanpa emosi oleh pihak kerajaan dan agensi penguatkuasaan di negera ini.

“Kita perlu bergerak ke hadapan untuk menjadi masyarakat yang bertamadun dan yang meraikan perbezaan pendapat, toleransi dan pemikiran kritikal,” tegasnya. – Roketkini.com