Berita

Dihalang bangkit soal 1MDB, Kit siang boikot sesi pertanyaan menteri

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang bertindak memboikot sesi pertanyaan menteri ekoran keputusan Speaker Dewan Rakyat semalam untuk tidak membenarkan soalan-soalan melibatkan tindakan undang-undang pihak berkuasa Amerika ke atas harta terkait dana 1MDB.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia semalam membuat keputusan bahawa persoalan saman sivil Department of Justice (DOJ) tidak perlu dijawab di Parlimen, kononnya kerana ia sub judis.

Dalam sidang media di lobi Parlimen, Kit Siang kemudiannya memetik berita Malaysiakini yang melaporkan kenyataan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Hishamudin Yunus yang mengulas keputusan Speaker itu.

Hishamudin berkata isu sub judis tidak timbul sama sekali kerana ia adalah perbicaraan asing, dan Speaker tidak wajar menghalang menteri daripada menjawab soalan berkaitan kes tersebut di Parlimen.

Bagi Kit Siang, tindakan Speaker itu adalah usaha untuk membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menutup skandal mega 1MDB.

“Adalah amat memalukan untuk semua Ahli Parlimen jika mereka tidak rasa marah dengan skandal 1MDB, dan Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai negara kleptokrasi global,” ujarnya kepada pemberita.

“Kleptokrasi adalah pemerintahan dengan ‘tiga P’, pencuri, perompak dan penyamun. Bagaimana kita boleh biarkan negara dipandang sedemikian?” soalnya lagi.

Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, sekiranya skandal melibatkan 1MDB itu tidak benar, kerajaan perlu menyatakan pendirian dan membersihkan nama negara. Sebaliknya jika ia benar, mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.

“Apa-apa pun kita tidak boleh terus berdiam diri,” tegasnya.

Beberapa soalan lanjut tentang skandal tersebut perlu dijawab, termasuk teka teki tentang dana terkait 1MDB digunakan untuk membawa keluarga Perdana Menteri melawat White House, serta persoalan tentang penutupan bank di Singapura, selain tindakan yang sedang diambil di Switzerland.

“Saya boikot sesi pertanyaan menteri, walaupun ia sesi yang paling penting, tetapi ia sekadar wayang sekiranya persoalan tentang kleptokrasi global ditolak,” ujar beliau. – Roketkini.com