Berita

Tindakan Universiti Malaya memihak parti pemerintah – DAPSY

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Tindakan Universiti Malaya mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pemimpin mahasiswa, Anis Syafiqah lantaran keterlibatan beliau dalam perhimpunan Tangkap MO1 adalah tidak menghormati hak yang dijamin Perlembagaan.

Demikian tegas Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Wong Kah Woh membidas tindakan institusi tersebut.

“Adalah jelas bahawa tindakan dan keputusan Universiti Malaya ini adalah dipengaruhi dengan interpretasi politik yang memihak kepada pihak pemerintah.

“Perhimpunan Tangkap MO1 telah disempurnakan dengan aman dan damai, tanpa melibatkan sebarang perkara negatif. Bagaimanakah Anis Syafiqah sekarang boleh dikatakan telah merosakkan kepentingan, kesejahteraan dan nama baik Universiti?” soal beliau dalam satu kenyataan.

Semalam Anis menerima satu surat tunjuk sebab yang ditandatangani Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Datuk Dr Rohana Yusof yang mendakwa mahasiswi itu telah “menjalankan urusan di luar Kampus dalam cara yang merosakkan atau memudaratkan kepentingan, kesejahteraan dan nama baik Universiti.”

Menurut Kah Woh yang juga Adun Canning, Timbalan Naib Canselor UM itu sepatutnya memberikan fokus terhadap peningkatan prestasi akademik universiti tersebut yang telah terkeluar daripada senarai Times Higher Education (THE) Top 400 University Rankings sejak tahun 2010.

UM kemudiannya memilih untuk tidak menyertai senarai tersebut sejak tahun 2014.

“Fokus Naib-Naib Canselor Universiti Malaya jelas terpesong dan sebaliknya memilih untuk menjadi alat pihak pemerintah dalam menggugat kebebasan dan pemikiran mahasiswa-mahasiswi.

“DAPSY dengan ini mengesa supaya Universiti Malaya balik kepada hala tuju akademik yang asal dan memberikan fokus untuk meningkatkan prestasi akademik Universiti Malaya, serta menarik-balik surat tunjuk sebab terhadap Anis Syafiqah.” – Roketkini.com