Berita

UM mesti tarik balik surat tunjuk sebab kepada Anis Syafiqah

KUALA LUMPUR. 18 OKT: Alumni Sekolah Demokrasi menggesa supaya surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Universiti Malaya terhadap aktivis mahasiswa, Anis Syafiqah ditarik semula.

Surat bertarikh 12 Oktober yang ditandatangani Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Profesor Datuk Dr Rohana Yusof mendakwa Anis telah ‘merosakkan atau memudaratkan kepentingan, kesejahteraan dan nama baik Universiti’ ekoran penglibatan beliau dalam perhimpunan Tangkap MO1.

“Kami Alumni Sekolah Demokrasi dengan sekeras-kerasnya menolak tuduhan yang mengatakan ia merosakkan atau memudaratkan nama universiti.

“Anis dan rakan-rakan sebaliknya telah menjadi teladan dan ikon kepada masyarakat atas keberanian beliau meminta agar pihak berkuasa menangkap dalang yang telah memalukan imej negara di mata dunia,” jelas kumpulan terbabit dalam satu kenyataan.

Alumni 350 orang graduan Sekolah Demokrasi itu turut berkata, Anis berhak untuk melibatkan diri dalam apa jua perhimpunan aman kerana hak itu dijamin di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan beliau menganjurkan demonstrasi Tangkap MO1 bukan saja tidak bertentangan dengan Perlembagaan malah menjunjung semangat dan nilai yang diangkat Perlembagaan Malaysia,” tegas kenyataan terbabit.

Bagi mereka, universiti seharusnya menyemai jiwa membela masyarakat melalui aktivisme-aktivisme seperti yang dilakukan oleh Anis dan rakan-rakan.

“Bersempena dengan majlis konvokesyen UM yang sedang berlangsung, sudah tentu masyarakat mengharapkan graduan yang dihasilkan adalah mereka yang akan menyumbang kembali kepada masyarakat dan dapat memimpin Malaysia ke arah yang lebih baik.”

Anis adalah jurucakap perhimpunan aman Tangkap MO1 yang berlangsung di Dataran Merdeka 27 Ogos lalu. Beliau juga merupakan alumni Sekolah Demokrasi, program pendidikan politik untuk anak muda anjuran DAP.

Baca wawancara Roketkini bersama beliau; Di sebalik tirai ‘Tangkap Malaysian Official 1’
http://www.roketkini.com/2016/08/25/di-sebalik-tirai-tangkap-malaysian-official-1/ – Roketkini.com