Berita

Belanjawan Alternatif Pakatan cadang potong separuh peruntukan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Pakatan Harapan melancarkan Belanjawan Alternatif 2017, dua hari lebih awal sebelum kerajaan membentangkannya di Parlimen Jumaat nanti.

Belanjawan tersebut memfokuskan, antara lain, pengurangan peruntukan untuk Pejabat Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion, daripada RM20.31 bilion bagi tahun 2016, selain berhasrat menghapuskan ketirisan akibat rasuah.

Menurut dokumen Belanjawan setebal 40 muka surat itu juga, gabungan politik DAP, PKR dan Amanah itu menjangkakan pembanterasan korupsi dan sistem anti rasuah akan dapat menjana penjimatan sehingga 20% untuk satu tahun fiskal.

Lebih menarik lagi, Pakatan Harapan turut mengemukakan sebelas cadangan dasar yang diinspirasikan daripada maqasid syariah, yang menjadi sandaran perjuangan pertumbuhan sosio-ekonomi Pakatan demi ekonomi yang adil untuk semua.

Sebelas dasar ini mencakupi aspek peluang pekerjaan dan keusahawanan, kenaikan gaji, kawalan pekerja asing, urustadbir yang baik serta daya melawan rasuah, pembangunan Sabah dan Sarawak, pengangkutan awam, serta isu-isu perumahan dan kesihatan.

“Belanjawan Pakatan Harapan mengutamakan kebajikan rakyat dengan menguruskan kos-kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan orang ramai,” ujar Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming kepada Roketkini.

Belanjawan tersebut diusahakan secara bersama antara beliau, Ahli Parlimen PKR Kelana Jaya Wong Chen dan juga Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Strategi Amanah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bakal membentangkan Belanjawan 2017 pada hari Jumaat ini di Parlimen.

Ia bagaimanapun menerima kritikan pedas mantan ketua kerajaan, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkannya sebagai tidak bermakna kerana kerajaan tidak mempunyai wang.

“Rakyat tahu bahawa kerajaan tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan. Mereka tahu sejak dua tahun lalu, kementerian telah diberitahu bahawa tidak ada wang dan oleh itu mereka perlu membelanjakan kurang daripada apa yang diperuntukkan,” tulis Pengerusi parti Bersatu itu di blognya hari ini.

Najib Razak kini mempunyai sembilan Menteri dan tiga Timbalan Menteri di Jabatannya yang mempunyai 51 bahagian. Peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri telah meningkat sehingga RM20 bilion pada tahun ini berbanding RM5.2 bilion pada tahun 2000.

Sejumlah besar daripada peruntukan tersebut disalurkan kepada program-program yang dikawal Perdana Menteri yang juga memegang portfolio Menteri Kewangan. – Roketkini.com