Berita

DAP Sabah gesa usul kembalikan status Sabah-Sarawak dibentang di Parlimen

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Perkara 1(2) dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi mengembalikan hak serta kuasa Sabah dan Sarawak selaras dengan Semenanjung Malaysia yang sebelum ini dihakis sejak 1976.

Mengulas perkara itu, Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong berkata, rang undang-undang bagi meminda akta tersebut sepatutnya menjadi keutamaan dalam sidang Parlimen kali ini, namun ia tidak tersenarai dalam urusan kerajaan yang akan dibentangkan.

Beliau yang mengemukakan usul persendirian bagi membolehkan akta itu dipinda menjelaskan, ia hanya mendedahkan sikap diskriminasi kerajaan ke atas undang-undang yang melibatkan kuasa serta hak Sabah dan Sarawak.

“Dihantar pada 27 September lalu, usul pindaan Perkara 1(2) itu menuntut agar Persekutuan Malaysia diperkuat serta menambah autonomi Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata Malaya.

“Sepatutnya, usul pindaan itu dibentangkan terlebih dahulu dan disenaraikan sebagai urusan kerajaan melebihi kepentingan usul persendirian yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” katanya.

Sebelum tahun 1976, Perkara 1 dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Sabah dan Sarawak masing-masing sebagai sebuah wilayah, sama kedudukannya dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Bagaimanapun pada 1976, pindaan Perlembagaan telah dibuat sehingga menyebabkan status Sabah dan Sarawak sebagai wilayah telah diturunkan menjadi negeri.

Semasa ia dibentangkan pada 1976, hanya empat ahli parlimen – tiga dari DAP dan satu dari PEKEMAS menentang pindaan tersebut, iaitu Lim Kit Siang, Dr Tan Chee Khoon, Farn Seong Than dan Lee Lam Thye.

Menurut Stephen yang juga Pengerusi DAP Sabah, semua ahli parlimen yang mendukung Perjanjian Malaysia 1963 terutama dari Sabah, Sarawak dan Labuan perlu menyokong tuntutan agar usul pindaan itu tersenarai dalam urusan kerajaan yang akan dibentangkan.

“Saya menyeru kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menyokong pindaan Perkara 1(2) ini bagi memastikan Malaysia mempunyai komitmen dalam menjadikan Malaya, Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi sama rata,” tegasnya.

Beliau berkata perkara sama pernah dinyatakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem baru-baru ini bahawa Ahli Parlimen BN Sarawak mungkin akan menyerahkan rang undang-undang seperti yang diserahkan Stephen itu bagi meminda Perkara 1(2) berkenaan.

“Jadi, saya meminta Adenan dan semua Ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak menyokong agar rang undang-undang ini diperdebat dalam sesi Parlimen kali ini.

“Walaupun DAP adalah sebuah parti kebangsaan, kita ikhlas memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak serta mahu kedua-dua negeri ini menjadi lebih baik di bawah pemerintahan Persekutuan,” katanya. – Roketkini.com