Berita

Dianaktirikan Kerajaan Persekutuan tak halang Pulau Pinang terus maju

GEORGE TOWN, 19 OKT: Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Harapan menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan yang ketiga terendah untuk lima tahun berturut-turut, meskipun menjadi penyumbang 30 peratus kepada perdagangan negara.

Di antara tahun 2009 hingga 2013, jelas Pengarah Pendidikan Politik DAP Pulau Pinang, Steven Sim, Kerajaan Persekutuan hanya memperuntukkan 2.4 peratus daripada belanjawannya untuk dikongsi antara 13 negeri.

Namun Pulau Pinang hanya menerima tiga peratus daripada peruntukan kecil itu.

Pun begitu, menurut Steven yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) masih antara yang tertinggi, malah, gaji median bagi pekerja di negeri itu sebanyak RM1700 sebulan adalah melebihi median nasional.

Beliau merujuk Laporan Tinjauan Gaji dan Upah yang dikeluarkan Jabatan Statistik Negara pada 2015.

“Pulau Pinang, sebuah negeri yang terhad tanahnya dan tanpa sumber asli, ditambah pula dengan sokongan Persekutuan yang sangat sedikit, adalah satu keajaiban ekonomi untuk kami (kerajaan negeri) dapat bertahan seperti sekarang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Ketua BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow dan Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng yang mendakwa kononnya Pulau Pinang lebih maju di bawah pentadbiran parti itu sebelum Pakatan mengambil alih pada 2009.

Bagaimanapun, kenyataan itu disanggah Ketua Menterinya, Lim Guan Eng, dengan menyatakan bahawa kerajaan negeri di bawah pentadbirannya telah berjaya mengurangkan kadar hutang negeri sebanyak 90 peratus kepada RM69 juta.

Malah, menurut Setiausaha Agung DAP itu, rizab negeri juga berjaya ditingkatkan daripada RM850 juta kepada RM1.6 bilion sepanjang tempoh pentadbirannya.

Pun begitu, Pulau Pinang disuruh belajar bagaimana menguruskan ekonomi daripada Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan, yang juga menteri bertanggungjawab ke atas Unit Perancang Ekonomi.

Menempelak saranan terbabit, Steven merujuk statistik serupa dan memberitahu bahawa Sabah bukan sahaja mempunyai antara angka KDNK terendah dalam negara, pekerja di Sabah juga mempunyai median gaji paling rendah, dengan separuh daripada tenaga kerja negeri tersebut dibayar kurang RM1,100 sebulan. – Roketkini.com