Rencana

Guna data belum dikemaskini, BN putar belit fakta serang kerajaan negeri Pulau Pinang

Saya harus memuji Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming yang mendedahkan ketidakjujuran BN dalam menggunakan data statistik tahun 2011 sedangkan wujud data tahun 2014 yang telah dikemaskini oleh Jabatan Statistik. Saya kecewa dengan serangan peribadi yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Gerakan, Liang Teck Meng ke atas kredibiliti akademik Dr. Ong. Beliau mempunyai Sarjana Ekonomi dari Cambridge University dan seorang pelajar Ph.D dengan biasiswa di Duke University, salah satu universiti terkemuka di Amerika Syarikat.

BN perlu berhenti menunjukkan sikap seperti Donald Trump dengan memutar belit data statistik Kerajaan Persekutuan, malah menyalahgunakan data yang belum dikemaskini, semata-mata bagi menonjolkan Pulau Pinang sebagai negeri yang gagal. Sindrom penafian itu terbukti sebelum ini apabila kerajaan negeri Perak mempertikai dan mengecam penemuan kajian oleh Kerajaan Persekutuan, yang dikemukakan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bahawa Perak telah menjadi negeri kedua termiskin di Malaysia selepas Kelantan.

Kini, BN mengulangi taktik tidak jujur seperti itu dengan memutar belit dan menyalahgunakan data-data yang belum dikemaskini untuk cuba menipu rakyat bahawa Pulau Pinang adalah negeri yang gagal, sedangkan ia merupakan salah satu model ekonomi terbaik di Malaysia.

Data dari Jabatan Statistik jelas menunjukkan bahawa pada 2007, tahun terakhir BN memegang tampuk kuasa, Pulau Pinang merekodkan peratus pertumbuhan KDNK per kapita terendah. BN cuba menafikan bahawa kegagalan pengurusan ekonomi merekalah yang menyebabkan Pulau Pinang di kedudukan terbawah pada 2007 dan kejayaan kerajaan Pakatanlah yang mengubah Pulau Pinang menjadi antara negara terbaik pada tahun 2015.

Seperti mana kita tidak boleh memutar kembali masa, BN juga tidak boleh mengubah hitam kepada putih atau putih kepada hitam apabila Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan sedemikian:

Sejak lapan tahun Pakatan Harapan mengambil alih Pulau Pinang, negeri ini telah berjaya merekodkan lebihan (surplus) belanjawan tahunan dengan lebihan terkumpul sebanyak RM574 juta, jauh lebih banyak dari lebihan terkumpul di bawah kerajaan BN dalam masa 50 tahun (1957-2007) iaitu sebanyak RM373 juta. Dalam lapan tahun, kita telah mencapai kejayaan yang lebih baik daripada apa yang dilakukan BN dalam masa 50 tahun!

Rizab negeri kita adalah hampir dua kali ganda dalam tempoh lapan tahun, iaitu dari RM850 juta kepada RM1.6 bilion.

Bagi perbandingan tempoh lapan tahun antara 2008-2016 dan 2000-2007, pelaburan pembuatan Pulau Pinang meningkat sebanyak 87% kepada RM54.9 bilion daripada RM24.9 bilion. Kewujudan peluang pekerjaan juga meningkat sebanyak 17% kepada 128,317 daripada 106,583.

Paling utama, hutang negeri telah dikurangkan sebanyak 90% dalam tempoh yang sama. Dengan RM69 juta pada akhir 2015, ia adalah yang terendah dalam negara. Pada masa sama, Pahang mempunyai hutang tertinggi dengan RM2.9 bilion, diikuti Sabah (RM2.6 bilion), Sarawak (RM2.5 bilion), Kedah (RM2.3 bilion) dan Kelantan (RM1.3 bilion). Pulau Pinang mencatatkan KDNK per kapita ketiga tertinggi (harga semasa) pada 2015 dengan RM44,847.

Cuba bandingkan prestasi ekonomi Pulau Pinang ini dengan prestasi Kerajaan Persekutuan yang telah mencatatkan defisit belanjawan tahunan untuk 18 tahun berturut-turut sejak 1998, hutang Kerajaan Persekutuan yang meningkat tiga kali ganda sejak 2007 sehingga kini mencecah RM800 bilion serta KDNK per kapita negara yang lebih rendah, iaitu RM37,104.

Kejayaan prestasi Pulau Pinang juga boleh dilihat dengan transformasi dari sebuah negeri yang dikenali antara yang terkotor di Malaysia kepada salah satu negeri terbersih yang juga hijau, selamat dan sihat. Jalan raya baru dibina di Seberang Perai dan buat kali pertama sejak 20 tahun, jalan sambungan baharu dibina di kawasan dalaman pulau, Jalan Ahmad Nor. Walaupun memberi peruntukan kepada projek pembinaan seperti ini, Pulau Pinang masih mampu mencatatkan lebihan belanjawan tahunan.

Kejayaan ekonomi dalam tempoh lapan tahun ini telah membantu kita memulihkan semula projek-projek perumahan terbengkalai, malah, tapak-tapak pelancongan yang telah ‘mati’ seperti bangunan Komtar, Penang Hill, George Town, Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) dan juga Seberang Perai.

1.6 juta rakyat Pulau Pinang juga mendapat manfaat dari bantuan wang tunai sebanyak RM400 juta yang dibahagikan secara tahunan seperti RM100 kepada warga emas, ibu tunggal, suri rumah tangga, orang kelainan upaya dan pelajar. Selain itu, kita juga memberi sumbangan satu kali untuk perbelanjaan pengebumian sebanyak RM1,000, RM200 bagi setiap anak yang lahir dan RM1,000 untuk pelajar tahun pertama di universiti tempatan.

BN telah cuba memusnahkan kejayaan tunggal Pulau Pinang dalam pengurusan kewangan dan pentadbiran yang bersih, termasuk mengamalkan tender terbuka yang telah menarik pujian dari Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun serta Transparency International (TI) dengan mendakwa:

“Jabatan Statistik Negara menunjukkan KDNK per kapita Pulau Pinang hanya mencatatkan peningkatan sebanyak 44% daripada RM31,039 bagi tahun 2007 kepada RM44,847 bagi tahun 2015, yang merupakan pertumbuhan terendah dalam negara dari 2007-2015.”

BN gagal menyatakan bahawa merekalah dalang dan penyebab utama mengapa Pulau Pinang mencatatkan kadar pertumbuhan KDNK per kapita terendah. Pada tahun terakhir BN memerintah Pulau Pinang (2007), Pulau Pinang berada di kedudukan terbawah dengan mencatatkan KDNK per kapita terendah dalam negara.

Sebaik sahaja kita mencecah kedudukan terbawah, ia merupakan tugas yang amat sukar dan hampir mustahil untuk mengubah keadaan itu dalam tempoh yang singkat. Berapa ramai pelajar yang berada di kedudukan terakhir di dalam kelas terus berubah menjadi pelajar terbaik? Inilah cabaran yang kita sedang hadapi apabila kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih Pulau Pinang pada 2008. Kita mempunyai tugas yang besar untuk memulihkan ekonomi yang mencatatkan kadar pertumbuhan KDNK per kapita terendah.

Bagaimanapun, kerajaan Pakatan Harapan berjaya mengatasi cabaran itu seperti yang telah ditunjukkan oleh data keluaran Jabatan Statistik Negara. Pulau Pinang menjadi negeri ketiga tertinggi dalam kadar pertumbuhan KDNK per kapita bagi tahun 2013, kedua pada tahun 2014 dan berjaya menduduki tempat pertama pada tahun 2015. Biarpun kita terpaksa menempuh lapan tahun yang panjang dan sukar, kerajaan Pakatan akhirnya berjaya memulihkan ekonomi sebuah negeri – yang pada mulanya berada di kedudukan terbawah antara semua negeri di Malaysia kepada juara kebangsaan dalam kadar pertumbuhan KDNK per kapita bagi tahun 2015.

Perbezaan antara BN dan Pakatan lebih jelas jika kita melihat data-data yang menunjukkan perbezaan antara setiap tahun jika dibandingkan dengan 2015. Bersama rakyat Pulau Pinang di bawah prinsip tadbir urus CAT yang baik dan kepimpinan bersih, kerajaan Pakatan dengan susah-payah berjaya mengangkat Pulau Pinang menjadi juara pada tahun 2015. Malah, pengundi Pulau Pinang membuat pilihan yang tepat dengan memulangkan kembali mandat kepada Pakatan semasa pilihan raya umum 2013.

Saya telah mengesahkan angka-angka berkenaan dengan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute, Dr. Lim Kim Hwa yang mempunyai Ijazah Kedoktoran dalam bidang ekonomi dari Cambridge University. Dr. Lim bersetuju bahawa Pulau Pinang berjaya naik dari kedudukan terendah pada tahun 2007 kepada tempat pertama pada 2015. Atau adakah Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow yang tiada ijazah dalam bidang ekonomi lebih arif tentang hal ini? Atau adakah Ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng lebih arif dari Dr. Ong Kian Ming?

Inilah apa yang mampu dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan, mengubah defisit menjadi lebihan, negeri di kedudukan terbawah kepada juara, hutang tinggi kepada hutang yang rendah. Rahsia kejayaan kerajaan Pakatan di Pulau Pinang adalah integriti dan tadbir urus yang bersih. Itulah perbezaan besar antara Pulau Pinang yang dinobatkan sebagai kerajaan negeri terbersih di Malaysia (menurut pujian Transparency International) dengan kerajaan Persekutuan BN yang dianggap antara kerajaan paling rasuah di dunia.

Daripada memuji kita kerana membaik pulih ekonomi Pulau Pinang, kita dipaksa pula untuk belajar daripada BN yang telah memusnahkan imej baik negara di peringkat antarabangsa dengan skandal 1MDB bernilai RM53 bilion dan derma RM4.2 bilion. Saya ulangi kenyataan saya bahawa mereka yang berbohong semudah bernafas nyata tidak layak memimpin mana-mana negeri. – Roketkini.com

 

*Lim Guan Eng merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Setiausaha Agung DAP