Berita

Peruntukan Kementerian Kesihatan dipotong, hospital kerajaan jadi mangsa

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Tindakan kerajaan UMNO memotong peruntukan Kementerian Kesihatan dalam Belanjawan 2016 yang lalu telah mula menampakkan kesan negatifnya.

Hospital Tengku Ampuan Rahmah, Klang seperti yang dilaporkan media mengeluarkan surat edaran pada 6 September lepas memaklumkan kakitangannya berhubung pemberhentian sementara ujian di Jabatan Patologi ekoran kekurangan dana.

Malah, Hospital Selayang turut mengalami nasib yang serupa apabila kehabisan bekalan bahan kimia untuk menjalankan uji kaji keratin darah pada hujung bulan lepas. Turut terjejas beberapa klinik kerajaan yang menghentikan proses saringan Hepatitis B terhadap ibu mengandung.

Memandang serius isu berkenaan, Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching justeru mahu kerajaan UMNO meletakkan kepentingan yang betul dalam Belanjawan 2017 yang akan dibentangkan pada jumaat nanti.

“Peruntukan bagi Kementerian Kesihatan pada 2015 adalah RM23.31 bilion, tetapi telah dikurangkan kepada RM23.03 bilion dalam Bajet 2016.

“Tetapi pada masa yang sama, peruntukan Jabatan Perdana Menteri telah meningkat daripada RM19.2 bilion kepada RM20.3 bilion.

“Apakah projek di bawah Jabatan Perdana Menteri yang terlalu penting daripada menyelamatkan nyawa (rakyat di negara ini)?” soal Ahli Parlimen Kulai itu dalam satu kenyataannya hari ini.

Sejak Januari hingga Mei tahun ini, Kementerian Kesihatan mencatatkan peningkatan jumlah pesakit sebanyak lapan peratus atau 3 juta pesakit berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengakui kesukaran yang perlu dihadapi Kementerian Kesihatan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dengan sumber yang terhad, lebih-lebih lagi dengan permintaan yang kian meningkat.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kampar, Dr. Ko Chung Sen berkata, pelaksanaan enam peratus cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bermula pada April tahun lalu telah mengakibatkan lebih ramai pesakit memilih untuk menerima rawatan di hospital kerajaan berbanding swasta.

Ekoran itu, katanya, hospital swasta mengalami kerugian yang teruk akibat pelaksanaan cukai yang membebankan itu.

“Ramai di kalangan kita kini tidak mampu untuk pergi ke hospital swasta seperti selalunya, malah hospital swasta seperti KPJ melaporkan telah mengalami penurunan keuntungan,” katanya.

Selain itu, katanya lagi, pelaksanaan GST yang didakwa kerajaan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat sebenarnya tidak mencerminkan matlamat yang digembar-gemburkan itu.

Ini kerana, ujarnya, kerajaan lebih mementingkan pembinaan infrastruktur daripada penjagaan kesihatan rakyat.

“Apa guna kalau ada keretapi laju tapi rakyat masih merangkak naik bas yang perkhidmatannya lembab untuk sampai ke hospital?

“GST yang dijanjikan kerajaan untuk kepentingan rakyat, sebaliknya hanyalah untuk menyelamatkan kerajaan daripada jatuh bankrap,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen pagi tadi.

Justeru, beliau menggesa supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberikan lebih peruntukan kepada Kementerian Kesihatan demi menjaga kepentingan rakyat yang bergantung terhadap perkhidmatan hospital kerajaan. – Roketkini.com