Berita

Setelah diugut bunuh, keluarga Maria Chin pula diserang

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Satu memorandum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini, berhubung kejadian simbah cat yang berlaku di rumah pengerusi penganjur perhimpunan aman berkenaan, Maria Chin Abdullah awal pagi tadi.

Kereta milik anak Maria telah disimbah dengan cat berwarna merah oleh beberapa individu yang tidak dikenali di kediamannya pada jam 2.57 pagi.

Ini lanjutan ugutan yang diterimanya kelmarin, dengan ancaman bunuh melalui gambar yang disunting memaparkan wajahnya, Datuk S Ambiga dan pengurus sekretariat Bersih, Mandeep Karpall serta ketiga-tiga anak lelaki Maria diacukan pisau ke kepala ala militan Da’esh.

Maria yang ditemui pemberita di perkarangan Bukit Aman sebentar tadi mengakui dirinya kini terpaksa mengambil langkah keselamatan selepas menerima beberapa ancaman bunuh.

“Saya tak tahu apa masalah Bersih yang membuatkan mereka mahu membuat provokasi sedemikian rupa,” katanya.

“Saya amat memerlukan seorang pemandu dan CCTV. Saya akan ambil langkah keselamatan. Saya telah diganggu (sehingga perlu) untuk ambil langkah keselamatan,” tambahnya.

Turut sama menyatakan sokongan terhadap Maria ialah ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu, Bersih dalam kenyataannya mahu polis memberikan perlindungan sepanjang masa kepada Maria, sekaligus mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan pantas untuk mencari dan mendakwa dalang di sebalik ancaman-ancaman tersebut.

“Bersih 2.0 melihat ini sebagai satu bentuk keganasan dan intimidasi berbaur politik bukan sahaja ke atas Maria dan keluarga tetapi juga ke atas gerakan rakyat.

“Semua perbuatan ini adalah bertujuan untuk menghentikan konvoi dan perhimpunan Bersih yang dilihat berjaya menyebarkan mesej untuk penambahbaikan institusi negara,” kata kenyataan itu yang dibacakan Maria. – Roketkini.com