Berita

Tidak cukup GST, kerajaan mansuh pula subsidi minyak masak

KUALA LUMPUR, 20 OKT: DAP mengecam keras tindakan kerajaan UMNO yang memansuhkan subsidi minyak masak sehingga menyaksikan harga keperluan asas itu meningkat 40 sen bagi setiap satu kilogram paket dan RM1.90 bagi setiap lima liter botol.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, golongan miskin yang sedia terjejas dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sejak April tahun lalu akan tambah terbeban dengan langkah terbaharu yang diambil kerajaan itu.

“Kalau bukan kerana pelaksanaan GST, pemansuhan subsidi minyak tidak akan memberi kesan yang besar kepada keluarga miskin.

“Namun, pemansuhan subsidi berkenaan tanpa memansuhkan GST hanya akan melebarkan lagi jurang pendapatan dan mengakibatkan keadaan golongan miskin bertambah parah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui jawapan ringkas di Parlimen pada Isnin lalu menolak cadangan Ahli Parlimen DAP kawasan Kluang, Liew Chin Tong agar GST dikurangkan daripada enam peratus kepada tiga peratus.

Najib yang juga Menteri Kewangan menolak cadangan itu dengan alasan kononnya cukai tersebut adalah penyelamat negara daripada kelumpuhan ekonomi.

“Bagaimana GST boleh jadi penyelamat kepada ekonomi sedangkan rakyat dan perniagaan terjejas teruk (akibat dari pelaksanaan cukai tersebut),” soal Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, penurunan 30 peratus hasil kutipan GST pada suku kedua 2016 telah cukup membuktikan bahawa ekonomi negara di tahap yang membimbangkan ekoran dasar pelaksanaan cukai berkenaan.

“Amat malang apabila Perdana Menteri tidak mengambil langkah tegas untuk memansuhkan GST demi memulihkan ekonomi negara dalam pembentangan Belanjawan 2017 beliau esok.

“Belanjawan 2017 itu tidak akan memberikan impak yang besar kepada rakyat biasa di negara ini, melainkan GST dimansuhkan,” tegasnya.

Pakatan Harapan dalam Belanjawan Alternatif 2017 yang dilancarkan semalam antara lain mencadangkan penambahbaikan GST ‘berkadar sifar’ sebagai usaha berterusan mereka untuk memansuhkan cukai berkenaan. – Roketkini.com