Berita

Dari ‘hot dog’ ke kleptokrasi, Malaysia jadi bahan ketawa dunia

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Tidak cukup dengan kontroversi di sebalik nama ‘hot dog’, Malaysia terus menjadi tajuk utama berita apabila Speaker Dewan Rakyat dilihat cuba memastikan integriti sistem kehakiman Amerika Syarikat.

“Sedangkan kita tidak mampu memastikan integriti sistem kehakiman di negara sendiri,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Ketua Parlimen DAP itu terlebih dahulu menyatakan rasa setuju dengan bekas menteri kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz bahawa reputasi Malaysia sebagai negara yang mengamalkan Islam secara sederhana dicemari kontroversi melibatkan ‘pretzel dog’ keluaran Auntie Anne’s.

Selain dijadikan bahan ketawa akibat kontroversi itu, Kit Siang juga membidas tindakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang memutuskan untuk menolak soalan terkait saman sivil pihak berkuasa Amerika berkait dana 1MDB.

“Parlimen ketiga belas mesti menyedari bahawa ia memikul sebahagian tanggungjawab sekiranya indeks persepsi rasuah Malaysia jatuh mendadak, bukan sahaja kerana populariti negara sebagai sebuah pentadbiran kleptokrasi global.

“Tetapi juga kerana peranan institusi Parlimen yang berpura-pura seolah-olah masalah ini tidak wujud dan tidak bertindak membersihkan negara daripada gelaran kleptokrasi global tersebut,” ujar Kit Siang.

Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada Isnin membuat keputusan bahawa persoalan mengenai saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) tidak boleh dibangkitkan di Dewan Rakyat dengan alasan ia bersifat ‘sub judis’.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah bertindak memboikot sesi pertanyaan menteri sejak Parlimen mula bersidang awal minggu ini.

“Adalah amat memalukan untuk semua Ahli Parlimen jika mereka tidak rasa marah dengan skandal 1MDB, dan Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai negara kleptokrasi global.

“Kleptokrasi adalah pemerintahan dengan ‘tiga P’, pencuri, perompak dan penyamun. Bagaimana kita boleh biarkan negara dipandang sedemikian?” soalnya dalam sidang media di Parlimen baru-baru ini.

Susulan daripada keputusan Speaker itu, Ahli Parlimen DAP kawasan Puchong, Gobind Singh Deo semalam menghantar usul kepada Setiausaha Dewan Rakyat menggesa agar keputusan itu disemak semula. – Roketkini.com