Berita

Dialog ideologi penting untuk keluar dari kerangka kaum dan agama

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Tanpa pembudayaan dialog mengenai ideologi, wacana politik di Malaysia akan terus hambar dan terperangkap dalam perbahasan kaum dan agama semata-mata.

Kesannya, masyarakat akan melulu menangani sesuatu isu kerana tidak mempunyai kerangka dasar yang jelas.

Kerangka yang tidak jelas ini akan menimbulkan kontroversi sehingga sering menjerumus kepada sensasi kaum dan agama walaupun tidak bersangkutan dengan isu sebenar yang lebih mendasar dan dekat kepada rakyat.

Justeru, Pengarah Jabatan Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong berkata, dalam hal ini rakyat perlukan kerangka tertentu dan khusus supaya tidak mudah dimanipulasi politik semasa yang menyimpang dari isu sebenar.

“Ini penting kerana dalam masyarakat kita, kita hanya bahas isu tanpa kerangka.

“Kerangka itu penting. Kerangka ini bermaksud mengapa kita sokong sesuatu dasar, (mengapa) kita tak sokong dasar yang lain dan apa asas-asasnya,” kata beliau dalam sesi dialog dan pelancaran buku Asas Sosial Demokrasi di Perpustakaan REFSA dekat sini.

Beliau menjelaskan, punca kurangnya wacana atau perdebatan mengenai ideologi khususnya di negara-negara rantau ini ekoran daripada propaganda serong yang mengaitkan wacana ideologi sebagai ‘kiri’ atau komunis.

“Apa sahaja yang dilihat ‘kiri’, tak kira sosial demokrasi atau apapun, semua dilihat sebagai komunis. Semua ditekan, dimasukkan ke penjara.

“Maka di Asia tak kira di Malaysia ataupun di Korea Selatan ataupun di Taiwan, dan Indonesia, di mana hasil atau legasi perang dingin ialah –kita tidak bincang ideologi kerana tidak wujudnya ‘centre left’, atau jika wujud sekalipun, ia tetap akan ditekan dan dituduh sebagai fahaman sesat. Inilah masalah yang kita warisi,” katanya.

Ahli politik guna jalan populis

Akibat ketandusan wacana ideologi dalam kalangan rakyat negara ini, Ahli Parlimen Kluang itu juga berkata ia menyebabkan pertubuhan-pertubuhan dan ahli-ahli politik menggunakan jalan populis dalam menangani masalah yang timbul dalam negara.

“Kita tidak ada perbahasan ideologi dan sekarang ini bila ada pembangkang biasanya kita jadi populis. Bukan sahaja di Malaysia, malah di Taiwan, Indonesia, dalam politik Jepun.

“Bila pembangkang misalnya menyuarakan pandangan rakyat jelata, ‘bahasanya’ ialah bahasa populisme, dasarnya menjadi dasar populis kerana tidak wujudnya wacana alternatif yang berasaskan ideologi tengah-kiri,” jelas Chin Tong.

Beliau berharap supaya akan wujud lebih banyak wacana ideologi supaya negara boleh keluar dari kerangka politik lama yang berasaskan kau dan agama dan fokus kepada isu sebenar yang melanda rakyat.

“Saya harap politik Malaysia satu hari nanti kita boleh bincang, wacana isu-isu pengangkutan, akses terhadap pengangkutan misalnya, kita bincang tentang akses terhadap sesebuah randar, isu ketidaksamaan dari segi kewangan, gaji, dari segi pendapatan, dari segi pendidikan, tak semestinya kita guna kaca mata kaum atau agama.

“Satu hari nanti kita terima bahawa kita ada pelbagai identiti dan kepelbagaian identiti kita ini akan dapat menghargai idea-idea yang bukan sekadar mengenai kaum dan agama,” ujar beliau lagi. -Roketkini.com