Berita

Rupanya Kerajaan tidak pernah pohon untuk bawa Sirul Azhar pulang dari Australia

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kerajaan dituntut menjelaskan kepada umum mengapa proses ekstradisi Sirul Azhar Umar masih tidak dibuat sehingga ke hari ini sedangkan ia bercanggah dengan kenyataannya dalam sidang-sidang Parlimen yang lalu.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata proses rundingan untuk membawa Sirul kembali ke Malaysia adalah mustahil jika kerajaan tidak pernah membuat sebarang permintaan kepada kerajaan Australia.

Menurutnya, pengesahan itu dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri dalam satu soalan yang dibangkitkan semula olehnya pada 17 Oktober lalu.

“Padahal, kerajaan sebelum ini memberi jaminan berulang kali bahawa ia dalam proses rundingan dengan Australia untuk membawa pulang Sirul sejak Mac 2015,” ujarnya, kesal sambil menambah, Sirul telah disabitkan dan dijatuhi hukuman mati hampir dua tahun lalu.

Ramkarpal berkata kenyataan tidak konsisten kerajaan itu menimbulkan syak wasangka sama ada ia tidak mempunyai kepentingan untuk mengekstradisi Sirul atau membuat sebarang rundingan.

“Lebih-lebih lagi, alasan sejak Mac tahun lepas kononnya proses ekstradisi itu rumit menunjukkan betapa tidak cekapnya Jabatan Peguam Negara sehingga mengambil masa hampir dua tahun untuk mencari jalan bagaimana untuk mengekstradisi seseorang.”

Sirul dan seorang lagi anggota polis, Azilah Hadri disabitkan bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu oleh Mahkamah Tinggi pada 2009, namun berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 2013.

Mahkamah Persekutuan kemudiannya mengenakan kembali sabitan ke atas mereka tahun lalu dan menjatuhkan hukuman mati.

Bagaimanapun, Sirul sempat melarikan diri ke Australia.

Ramkarpal sejak Mac tahun lalu menyoal tentang langkah yang diambil kerajaan dalam membawa pulang Sirul ke negara ini di Parlimen, namun Menteri Dalam Negeri menyatakan kononnya kerajaan sedang dalam proses rundingan dengan kerajaan Australia.

“Perkara ini melibatkan kepentingan umum dan memerlukan perhatian segera. Sudah hampir dua tahun Sirul dijatuhi hukuman mati.

“Malah, keluarga mendiang Altantuya berhak mendapatkan jawapan serta keadilan untuk hukuman yang telah tertangguh itu,” tegas Ramkarpal. – Roketkini.com