Berita

Kalau boleh kesan “Ratu Naga”, kesan juga pengugut bunuh Maria Chin

MENTAKAB, 22 OKT: Kesal dengan ugutan bunuh ala Da’esh terhadap Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah baru-baru ini, satu lagi laporan dibuat mendesak pihak polis bertindak tegas menyiasat dan melaksanakan keadilan.

Laporan itu antara lain menyebut jika pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) boleh menangkap individu yang memuat naik gambar yang menghina Perdana Menteri Najib Razak dan isteri, tidak menjadi masalah jika pelaku ugutan bunuh ala Da’esh ini juga dikesan dan dikenakan tindakan.

report-polis-bersih5“Sekiranya pihak PDRM dan SKMM boleh mengesan individu seperti ‘Ratu Naga’ yang didakwa memuat naik gambar yang menghina Perdana Menteri dan Isteri, saya percaya tidak menjadi masalah langsung untuk PDRM dan SKMM segera mengesan dan menangkap individu atau pihak di sebalik sebaran gambar ugutan bunuh terhadap Maria, Mandeep dan Dato’ Ambiga ini,” laporan itu dipetik.

Laporan yang dibuat di Balai Polis Mentakab itu dibuat oleh Ketua Pembangkang DUN Pahang, Tengku Zulpuri Shah.

Adun Mentakab itu turut ditemani pemimpin gabungan pembangkang Pahang termasuk Ahmad Zubir Omar mewakili Amanah, Hassim Bin Abd Mubim mewakili PKR dan Mohd Zin bin Talib mewakili Bersatu.

“Perbuatan ini adalah satu bentuk ugutan jenayah yang wajib dikutuk oleh semua pihak tidak kira sama ada mereka bersetuju ataupun tidak dengan usaha Bersih 5.

“Kami memohon agar pihak polis mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan dan keamanan serta ketenteraman dapat dikekalkan dan diteruskan sepanjang penganjuran Jelajah Bersih 5 di Temerloh dan kawasan sekitarnya,” petik laporan itu. –Roketkini.com