Berita

Kenapa The Star padam kandungan plakad Ahli Parlimen Pakatan Harapan?

KUALA LUMPUR, 22 OKT: Akhbar The Star versi online semalam didapati memadamkan isi kandungan plakad yang diangkat Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan sebelum bertindak meninggalkan Dewan Rakyat di tengah-tengah ucapan Belanjawan 2017 oleh Perdana Menteri.

budget-2017-opposition-mps-stage-walkout-midway-through-pm-s-speech-nation-the-star-onlineLaporan bertajuk ‘Budget 2017: Opposition MPs stage walkout midway through PM’s speech’ itu memaparkan gambar Ahli-ahli Parlimen pembangkang di lobi Dewan Rakyat dikelilingi pemberita.

Namun plakad yang mereka pegang bertulis ‘Siapa MO1’ dikaburkan akhbar milik MCA itu.

Kekecohan tercetus sekitar jam 6 petang apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengkritik Ketua Pembangkang. Blok pembangkang kemudiannya membantah ucapan terbabit sambil mengangkat plakad bertulis ‘Siapa MO1’ sebelum keluar meninggalkan Dewan.

Turut serta ialah anggota terbaru blok tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Timbalan Perdana Menteri yang kini duduk di antara Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah bagi pembangkang untuk meninggalkan Dewan Rakyat ketika belanjawan sedang dibentangkan sebagai tanda protes terhadap ucapan tersebut.

“Saya sudah mendengar 42 pembentangan belanjawan di Parlimen sejak dilantik menjadi Ahli Parlimen,” ujar Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam satu ucapan di Seremban semalam.

“Inilah kali pertama sebuah belanjawan telah menarik begitu banyak kutukan kerana tidak mempunyai kredibiliti, baik pada belanjawan itu sendiri mahupun pembentangnya.

“Ini sebabnya kenapa untuk kali pertama dalam sejarah Parlimen Malaysia sejak 1957, Ahli-ahli Parlimen pembangkang keluar beramai-ramai ketika belanjawan dibentang,” ujarnya.

Pun begitu, tidak semua anggota blok pembangkang bertindak meninggalkan Dewan. Ahli-ahli Parlimen PAS, kekal setia mendengar ucapan Perdana Menteri sehingga habis, sementara Presiden PAS Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang, langsung tidak hadir. – Roketkini.com