Berita

Belanjawan 2017 tidak utamakan hutan dan alam sekitar – Dr. Edwin Bosi

KOTA KINABALU, 24 OKT: Timbalan Pengerusi DAP Sabah Dr Edwin Bosi menyatakan Belanjawan 2017 yang dibentangkan Jumaat lalu tidak memberi banyak penekanan dan peruntukan terhadap pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan itu hanya menyatakan secara umum kepentingan penjagaan hutan dan alam sekitar serta dan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri bagi mencapai matlamat tersebut.

“Tidak banyak penekanan terhadap pemuliharaan dan perlindungan alam sekitar dalam belanjawan 2017.

“Tanpa memberi perhatian terhadap hutan dan penjagaan alam sekitar yang baik, ia boleh memudaratkan manusia,” kata Adun Kepayan itu.

Selain itu, Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat itu juga mahu supaya tumpuan penuh diberikan terhadap pengeluaran makanan, promosi pelancongan dan pembinaan kemahiran di kalangan belia.

“Ini amat penting dalam berhadapan situasi lembam ekonomi negara,” ujar beliau.

Dalam perkara berkaitan, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan media berkata kementeriannya tidak bimbang dengan Belanjawan 2017.

Beliau mengakui permohonan kementeriannya adalah lebih besar sebelum ini namun beliau tidak menyatakan rasa tidak berpuas hati. – Roketkini.com