Berita

Lebih 5,000 dipindah kawasan, pengundi fail semakan kehakiman terhadap SPR

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memindahkan sejumlah 5,000 pengundi dari kawasan Batang Kali ke Kuala Kubu Bharu adalah melampaui had kuasa badan itu serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, tiga pemilih memfailkan semakan kehakiman ke atas keputusan SPR tersebut pada Jumaat lalu kerana ia menjejaskan hak mereka sebagai pengundi.

Tiga individu tersebut adalah P. Maradeveran dan Zahar Rusuli dari Batang Kali serta Yong Chan Hee dari Kuala Kubu Bharu.

Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming dalam satu sidang media pagi tadi berkata SPR hanya dibenarkan untuk mengubah pembahagian kawasan mengundi dengan cara dan sebab yang munasabah seperti dinyatakan dalam Seksyen 7 Akta Pilihan Raya 1958.

Bagaimanapun, badan itu telah memindahkan sebilangan besar pengundi ke kawasan lain serta melukis semula sempadan pilihan raya tanpa menyatakan perkara itu dalam cadangan persempadanan semula pada September lalu.

“Dalam cadangan persempadanan semula yang diumumkan sebelum ini, SPR mendakwa sempadan bagi kawasan Hulu Selangor termasuk Batang Kali dan Kuala Kubu Bharu tidak terjejas.

“Namun, pengundi mendapati tempat undi mereka berubah dari Batang Kali ke Kuala Kubu Bharu melalui proses belah bahagi yang dijalankan secara senyap pada April lalu,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat DAP pagi tadi.

Menurut Kian Ming, pengundi-pengundi di Batang Kali tidak dapat mengemukakan bantahan walaupun telah menulis surat kepada SPR kerana badan itu mendakwa kawasan mereka tidak terjejas dalam cadangan persempadanan semula.batang kali kkb

“Oleh itu, satu-satunya cara yang tinggal adalah untuk memfailkan semakan kehakiman ke atas tindakan melampaui batas SPR yang melukis semula sempadan dan memindahkan pengundi,” ujar Penolong Setiausaha DAP Selangor itu.

Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong yang turut hadir di sidang media itu berkata dua pengundi dari Batang Kali tersebut mula mendapat tahu tentang perubahan kawasan mengundi mereka pada Julai lalu selepas menyemakstatus mereka di laman web SPR.

“Setelah SPR menyatakan keputusan itu tidak boleh dibantah, kita meminta nasihat daripada peguam serta pakar daftar pemilih dan perundangan. Kita kemudiannya bersetuju untuk memfailkan semakan kehakiman,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menegaskan pemindahan lebih 5,000 pengundi dari satu kawasan ke kawasan yang lain adalah melampaui batas dan tidak rasional sama sekali.

“Kenapa begitu ramai? Jika ada sedikit perbezaan sekalipun, ia selalunya melibatkan hanya beberapa puluh pengundi. Tapi kali ini, ia mencecah lebih 5,000.

“Jika ikut keputusan pilihan raya yang lalu, Kuala Kubu Bharu mempunyai majoriti sebanyak 1,702 orang. Namun selepas pembahagian semula ini, majoriti hanya tinggal 377 sehingga menjadi kawasan marjinal. Adakah ini niat SPR?” soalnya.

Pengerusi DAP Selangor itu berkata, pemindahan pengundi Batang Kali ke Kuala Kubu Bharu itu langsung tidak menjejaskan kerusi DUN Batang Kali yang dikuasai Barisan Nasional (BN), namun memberi kesan kepada kerusi DUN Kuala Kubu Bharu.

“Adakah SPR cuba mengalihkan majoriti dari Batang Kali ke Kuala Kubu Bharu supaya lebih ramai pengundi BN di kawasan itu sedangkan mereka tak ada kuasa berbuat demikian?” soalnya. – Roketkini.com