Budaya

Mengenali Thirukkural – Bahagian 9

Dalam budaya India pada zaman dahulu, poligami adalah perkara biasa. Penelitian terhadap epik seperti Mahabharata dan Ramayana boleh menjelaskan realiti ini.

Bagaimanapun, menerusi Ramayana, Valmiki cuba menerapkan amalan monogami dengan mengangkat watak Rama sebagai putera yang setia kepada isterinya, Sita.

Selain daripada poligami dan monogami, kajian terhadap karya-karya lama juga akan menunjukkan pelbagai situasi di mana seorang lelaki menaruh minat terhadap isteri orang lain.

Sekiranya difikirkan, perbuatan seperti itu masih berlaku; termasuk dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita. Kisah-kisah berkaitan “keinginan memiliki isteri orang” dapat juga ditonton dalam drama televisyen dan dibaca dalam novel-novel popular.

Dalam keadaan seperti ini, eloklah juga jika Bab 15 dalam Thirukkural diteliti, dan dijadikan panduan bagi mengelakkan diri daripada terjerumus ke dalam lembah dosa.

Ditegaskan menerusi Kural 141 bahawa seorang lelaki yang telah membaca, memahami dan menghayati karya-karya etika, moral, aram (dharma) dan porul (politik dan ekonomi) tidak akan menaruh hati atau berkeinginan memiliki isteri orang lain.

Maknanya, hanya orang tidak bertamadun, tidak beretika, tidak bermoral dan tidak ada nilai diri akan terpikat, bernafsu, serta cuba menjadikan isteri orang sebagai miliknya.

Malah, Kural 142 merujuk kepada contoh golongan lelaki yang mahu memiliki isteri orang lain, serta tidak segan silu untuk menunggu di depan rumah orang itu dengan niat tidak baik. Golongan seperti itu dikatakan lebih hina daripada kelompok manusia yang langsung tidak berpelajaran dan tidak bertamadun.

Gambaran di atas menunjukkan betapa Thiruvalluvar menentang amalan buruk berkenaan. Pada masa sama, ternyata sikap seperti itu berlaku secara meluas dalam kalangan masyarakat pada zaman berkenaan. Sebab itulah sepuluh kural ditulis khusus untuk menyelar amalan itu.

Bayangkan senario ini: Ada dua lelaki yang bersahabat baik. Seorang lelaki sudah beristeri. Dia amat mempercayai sahabatnya. Akan tetapi, si sahabat itu pula menaruh minat, bernafsu, dan berniat mahu menjadikan isteri kawannya itu sebagai miliknya.

Perlulah difahami bahawa “ingin memiliki” di sini bukan bermakna mahu menjadikan wanita itu sebagai isteri. Sebaliknya, sekadar berniat mahu memuaskan nafsu dengan mengadakan hubungan seks dengan wanita berkenaan.

Memanglah perkara seperti ini berlaku juga dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini. Dalam Thirukkural, menerusi Kural 143, sikap seorang sahabat seperti itu dikatakan lebih hina daripada mayat dan bangkai.

Mungkin ada individu yang kaya, berkuasa, dihormati dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat. Bayangkan bahawa dia menggunakan kedudukannya itu untuk melakukan apa sahaja sesuka hati.

Dalam konteks perbincangan ini, bayangkan bahawa lelaki yang dihormati itu tidak segam silu untuk masuk ke dalam rumah orang lain dengan niat untuk meniduri isteri orang lain.

Mungkin sahaja perbuatannya tidak akan diketahui orang. Kuasa dan wang yang dimiliki mungkin boleh menutup perbuatan tidak bermoral yang dilakukan. Akan tetapi, seperti disebut dalam Kural 144, reputasinya pasti akan hilang dalam masa terdekat.

Selain daripada itu, dosa yang ditanggung turut disentuh dalam Kural 145. Thiruvalluvar menghuraikan perbuatan seorang lelaki yang mendabik dada kerana amat mudah baginya untuk pergi ke rumah lelaki lain untuk meniduri isteri orang itu. Ditegaskan bahawa dosa yang ditanggung tidak akan terampun sampai bila-bila.

Perbuatan zina memang berdosa. Orang ramai diingatkan tentang empat kesan buruk yang terpaksa ditanggung sepanjang hayat jika menjalinkan hubungan dengan isteri orang.

Dalam Kural 146, dinyatakan bahawa lelaki seperti itu bukan hanya menanggung dosa akibat perbuatannya. Selain daripada itu, dia juga mengundang permusuhan, khususnya daripada individu yang menyedari isterinya sudah ditiduri orang lain.

Pembuat dosa itu pula akan sentiasa hidup dalam ketakutan kerana memikirkan kesan buruk daripada perbuatannya. Tidak setakat itu, dia pasti dicela dan dihina oleh anggota masyarakat dan saudara-mara.

Pada masa sama, Thirukkural turut menyebut mengenai golongan lelaki yang menghormati kesucian ikatan perkahwinan. Dalam Kural 147, dinyatakan bahawa seorang lelaki yang patuh pada etika, nilai, dan maruah, tidak akan sesekali menaruh minat dan nafsu terhadap isteri orang lain.

Perlu dinyatakan bahawa individu yang menaruh minat terhadap isteri orang lain tidak semestinya seorang lelaki bujang atau duda. Tidak mustahil bahawa individu berkenaan sudah berkeluarga, tetapi masih bernafsu untuk memiliki isteri orang.

Thiruvalluvar menjelaskan menerusi Kural 148 bahawa seorang lelaki yang bertamadun, beretika, bermoral dan tidak sesekali berniat mahu meniduri isteri orang lain merupakan lelaki yang berpekerti mulia.

Tentulah hanya seorang individu yang berilmu dan berfikiran waras akan mampu mencerna segala ajaran agama dan hidup tanpa tunduk kepada niat buruk mahu memiliki isteri orang.

Sesungguhnya, sekiranya kita melihat kepada pelbagai kejadian dalam masyarakat pada masa kini, memanglah etika, moral dan ajaran agama seolah-olah sudah tidak menjadi pegangan. Budaya negatif yang dinyatakan dalam Bab 15 teks Thirukkural memang masih berleluasa.

Lalu, siapakah yang berhak hidup dengan penuh kemuliaan di dunia? Thiruvalluvar mengingatkan bahawa tidak semua lelaki berniat jahat dan cuba memiliki isteri orang.

Memang ada golongan lelaki yang beretika dan berpegang teguh kepada ajaran agama. Mereka inilah, menurut Kural 149, yang akan memiliki dan menikmati segala kebaikan dan kemakmuran di muka bumi. Kebaikan itu mungkin tidak datang segera, tetapi akan tetap menjadi milik orang yang mengamalkan cara hidup tanpa noda dan dosa.

Thiruvalluvar mengakhiri Bab 15 dengan mengakui hakikat kewujudan golongan manusia yang terlibat dalam pelbagai perbuatan yang melanggar etika, norma, ajaran agama, dan undang-undang.

Bagaimanapun, dinyatakan dalam Kural 150 bahawa kedudukan orang seperti itu masih jauh lebih mulia berbanding seseorang lelaki yang bernafsu dan berniat mahu memiliki isteri orang.

Demikian huraian ringkas yang boleh dijadikan renungan dan panduan dalam kehidupan kita pada masa kini.

* Uthaya Sankar SB adalah presiden Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan). Layari kavyan.blogspot.my untuk maklumat aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya.