Berita

Pembangunan modal insan terjejas gara-gara peruntukan sektor pengajian tinggi dipotong

KUCHING, 24 OKT: Pemotongan besar ke atas peruntukan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam belanjawan 2017 akan memberikan kesan besar terhadap perkembangan modal insan di Malaysia.

Menurut Setiausaha Publisiti Sosialis Muda DAP (DAPSY) Petrajaya, Abdul Aziz Isa; pemotongan peruntukan itu bermakna universiti awam akan menyaksikan pengurangan pembiayaan kerajaan walaupun jumlah kemasukan di banyak institusi pendidikan tinggi dijangka meningkat.

“Jika tindakan mengurangkan peruntukan kepada KPT ini dikatakan selaras dengan Pelan Tindakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015 – 2025 yang tidak mahu universiti awam terlalu bergantung kepada kerajaan, bagaimana pula institusi berkenaan dapat memaksimumkan penggunaan asetnya?” ujar Aziz kepada Roketkini.

Dalam ucapannya Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM7.4 bilion bagi meningkatkan IPTA negara ini ke taraf global.

Apa yang menjadi persoalan, peruntukan itu kurang hampir separuh berbanding belanjawan tahun lalu yang memperuntukkan RM13.378 bilion dalam sektor terbabit.

“Pemotongan besar dalam sektor pengajian tinggi dalam belanjawan 2017 itu merupakan kesan akibat kegawatan kerajaan Barisan Nasional (BN) menguruskan ekonomi negara

“Ia akhirnya memberi kesan yang besar kepada rakyat terutamanya di kalangan anak muda yang melanjutkan pengajian di universiti,” katanya.

Bekas calon DAP Batu Kitang itu berkata, satu-satunya cara untuk memulihkan ekonomi negara dan sistem pendidikan negara ini adalah dengan melakukan perubahan melalui pilihanraya umum, barulah dasar-dasar perekonomian, pendidikan dan sebagainya dapat dipulihkan.

Antara institusi pendidikan yang telah dipotong peruntukan dalam Belanjawan 2017 ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). – Roketkini.com