Berita

DAP ucap takziah buat mangsa kebakaran Hospital Sultanah Aminah

JOHOR BAHRU, 25 OKT: Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong meluahkan rasa sedih dan kesal berikutan tragedi kebakaran di Hospital Sultanah Aminah yang meragut enam nyawa di sini pagi tadi.

“Kami ingin menzahirkan rasa sedih dan kesal dengan tragedi di mana ia berlaku dalam satu bangunan yang menempatkan orang awam dan pesakit yang sedang menerima rawatan di samping kakitangan hospital yang sedang bertugas merawat pesakit,” kata Ahli Parlimen Kluang itu dalam satu kenyataan.

“Kami amat bersimpati kepada mangsa dan keluarga atas bencana ini. Kami menggesa semua pasukan penyelamat untuk berganding bahu menjalan operasi menyelamatkan mangsa.

“Manakala semua agensi kerajaan yang lain juga perlu tampil segera dan membantu menempatkan pesakit yang terpaksa dikeluarkan ditempat sementara ini ke satu tempat yang lebih selamat,” ujarnya.

Menurut beliau, satu langkah segera perlu diambil oleh pihak keselamatan untuk menyiasat punca kebakaran termasuk langkah-langkah keselamatan yang seharusnya ada di setiap bangunan kerajaan.

“Sekali lagi, kami berdoa agar semua mangsa dan para pesakit serta kakitangan hospital dapat diselamatkan,” kata Chin Tong.

Menurut laporan Bernama, korban jiwa terdiri daripada empat orang wanita dan dua lelaki, dalam kebakaran di tingkat dua unit rawatan rapi hospital terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Othman Abdullah dilaporkan agensi berita itu berkata, seramai 166 anggota dan 10 jentera dikejarkan ke tempat kejadian, selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.56 pagi. – Roketkini.com