Berita

Jangan sampai doktor pun kena pandu Uber pula – Teresa Kok

KUALA  LUMPUR, 25 OKT: Seramai 2,600 graduan perubatan yang tidak mendapat penempatan di hospital kerajaan boleh melakukan ‘housemanship’ mereka secara kontrak seperti diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Belanjawan 2017 Jumaat lalu.

Lantikan kontrak itu jelas Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam adalah sebagai inisiatif yang diambil untuk menyelesaikan masalah penempatan yang dihadapi graduan-graduan perubatan tersebut.

Bagaimanapun, menteri itu tidak memberikan sebarang jawapan jelas tentang nasib graduan perubatan tersebut setelah tamat kontrak.

Malah beliau seperti dilaporkan media berkata mereka boleh mencari peluang pekerjaan dalam sektor swasta.

“Berapa ramaikah graduan perubatan ini akan diserap ke sektor swasta selepas tamat kontrak?” soal Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.

Menurutnya, isu lebihan graduan kedoktoran telah pun dibangkitkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia dan Majlis Perubatan Malaysia beberapa tahun lalu sehingga menarik perhatian bekas Menteri Kesihatan ketika itu Datuk Seri Chua Soi Lek.

“Saya juga ada membangkitkan isu ini di Parlimen tetapi maklumbalas kerajaan terhadap perkara ini mengecewakan tanpa sebarang rancangan efektif untuk menanganinya.

“Apa yang lebih memburukkan keadaan, ada pula yang menafikan bahawa tidak wujud isu lebihan doktor dalam negara ini,” kata beliau.

Dalam skim kontrak yang diperkenalkan itu, kerajaan menetapkan kontrak selama empat tahun bagi graduan perubatan, tiga tahun bagi pergigian dan farmasi walaupun penempatan bagi latihan housemanship bagi graduan perubatan sebelum ini hanya dua tahun dan bagi pergigian pula ditetapkan selama satu tahun.

Teresa menjelaskan, dengan pengenalan kepada skim baru ini, Kementerian Kesihatan perlu memberi gambaran jelas kepada rakyat bahawa doktor-doktor negara ini berkemungkinan bakal hilang pekerjaan.

“Kita harap jangan sampai satu hari nanti kerajaan menasihati doktor yang tiada pekerjaan supaya memandu Uber pula.

“Kerajaan perlu bertanggungjawab penuh kerana kurangnya usaha untuk membendung isu lebihan doktor dalam negara ini sedangkan ia sudah lama dimaklumkan,” katanya lagi. – Roketkini.com