Berita

Pencemaran air Selangor, Menteri Dalam Negeri tidak boleh membisu

PUCHONG, 25 OKT: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa segera bersuara tentang langkah-langkah diambil kementeriannya untuk membantu usaha menangani masalah pencemaran air di negeri Selangor.

Membuat gesaan terbabit, Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata, dapatan awal siasatan menunjukkan terdapat unsur pencemaran yang bermula dari Sungai Buah di Negeri Sembilan yang mengalir masuk ke Sungai Semenyih dan mengakibatkan gangguan bekalan air di Selangor.

“Ini merupakan perkara yang sangat serius kerana ia memberi kesan kepada keperluan asas bekalan air. Impaknya kena terhadap begitu ramai orang, termasuk kesihatan dan rutin harian mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Meski tuduhan serius telah diberikan dalam hal ini termasuk unsur sabotaj, Gobind mengambil maklum sikap berdiam diri Kementerian Dalam Negeri tentang langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah terbabit.

“Bagi saya, ini soal keselamatan negara yang menuntut perhatian semua pihak tidak kiralah agensi negeri atau persekutuan.

“Kita mesti mencari punca masalah ini dan bekerja keras supaya ia tidak berulang lagi,” ujar Ketua Biro Undang-undang DAP itu.

Semalam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali turun padang meninjau sendiri punca pencemaran.

“Semua punca pencemaran ini berada di dalam Negeri Sembilan, bukan Negeri Selangor. Hulu Sungai Buah berada di Negeri Sembilan.

“Aliran Sungai Buah ini masuk ke Sungai Semenyih menyebabkan ia mengganggu Loji Rawatan Air Sungai Semenyih, maka kita terpaksa menutup loji rawatan itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat kerja penyedutan air oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di Kampung Sungai Buah. – Roketkini.com