Rencana

Ucapan Najib bercanggah dengan Belanjawan sebenar

Saya telah mengutarakan baru-baru ini bahawa Belanjawan 2017 yang diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak telah menghentikan peruntukan bagi dua program kesihatan wanita yang penting, iaitu ujian mamogram dan vaksin HPV.

Dalam Belanjawan 2016, item-item ini telah ditetapkan kepada sifar (0) tetapi masih dicerminkan melalui Anggaran Perbelanjaan Persekutuan di bawa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Setelah saya dan rakan-rakan Pakatan yang lain membantah, Kerajaan Persekutuan mengembalikan semula dua program tersebut semasa perbahasan di peringkat jawatankuasa.

Pada tahun ini, kedua-dua item tersebut tidak dapat ditemui dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan sama ada di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Kesihatan ataupun Jabatan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, beberapa individu memaklumkan kepada saya bahawa Menteri Kewangan menyebut tentang peruntukan sebanyak RM30 juta kepada kedua-dua item itu pada Baris 291 dalam ucapan belanjawannya.

Apa sebenarnya yang berlaku?

Ada dalam ucapan tetapi tiada dalam belanjawan

Percanggahan itu bukan hanya melibatkan program-program kesihatan wanita.

Pada Baris 207 dalam ucapan belanjawan, Najib menyatakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperuntukkan RM1 bilion bagi menaiktaraf liputan dan kualiti jalur lebar di seluruh negara. Di dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan untuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang bertanggungjawab ke atas SKMM, hanya RM57.5 juta diperuntukkan di bawah ‘perbelanjaan pembangunan’ untuk ‘projek jalur lebar’.

Pada Baris 224 pula, Najib mengumumkan sebuah lagi ‘berita baik’ kononnya SKMM akan memperuntukkan RM340 juta untuk tablet percuma kepada 430,000 guru seluruh negara sebagai bantuan mengajar.

Rupa-rupanya, sebuah lagi ‘berita baik’ ini hanyalah sebuah lagi percanggahan, apabila tidak ada satu pun tentangnya disebut dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan. Malah, peruntukan untuk perkhidmatan dan bekalan kepada sekolah rendah dan menengah dipotong sebanyak 82% dan 62% berbanding 2016!

Rakan saya, Dr. Ong Kian Ming ada mengulas berhubung percanggahan-percanggahan tersebut sebelum ini.

Bukankah kita perlu bimbang? Lebih-lebih lagi apabila ucapan belanjawan telah menyebut tentang perkara-perkara ini namun ia langsung tidak dinyatakan dalam belanjawan sebenar.

Kerajaan tidak boleh dikenakan tindakan walau ucapannya bercanggah

Dalam penghakiman Mahkamah Agung di India untuk kes Amin Merchant v Chairman, Central Board of Excise & Revenue & Ors, Mahkamah memutuskan “ucapan Menteri Kewangan dan cadangan kewangan/belanjawan yang diluluskan oleh Parlimen adalah dua dokumen berasingan dan berbeza; undang-undang yang dikuatkuasakan adalah apa yang terkandung dalam Akta Kewangan selepas ia digubal bersama oleh Parlimen.”

Mahkamah turut menegaskan, “ucapan Menteri Kewangan hanya mengetengahkan cadangan-cadangan penting daripada belanjawan.Ia bukanlah akta Parlimen. Undang-undang yang dikuatkuasakan adalah apa yang terkandung dalam Akta Kewangan.”

Secara ringkasnya, ucapan belanjawan oleh Menteri Kewangan bukanlah belanjawan yang sebenar.

Ucapan itu hanya menggariskan dasar-dasar belanjawan kerajaan bagi tahun akan datang. Ia menyerlahkan iklim ekonomi negara serta hal-hal utama dalam belanjawan. Tidak hairanlah, ia biasanya mengandungi ‘berita baik’. Ini bukanlah masalah yang utama.

Bagaimanapun, ucapan belanjawan bukanlah dokumen belanjawan yang sebenar. Tidak ada butiran mengenai perbelanjaan dan pendapatan, serta tidak menyebut setiap item dalam belanjawan. Ini juga bukanlah masalah yang utama.

Butiran belanjawan boleh didapati dari dokumen-dokumen yang disertakan semasa pembentangan di Parlimen, sebagai contoh Anggaran Perbelanjaan Persekutuan, Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan dan Laporan Ekonomi.

Semua ini akan digubal ke dalam Akta Bekalan, Akta Kewangan dan sebagainya. Perbelanjaan kerajaan dan aktiviti penjanaan hasil bagi tahun kewangan akan datang adalah terikat dengan had yang ditetapkan oleh undang-undang tersebut. Secara teknikalnya, ia adalah belanjawan.

Jadi, apa yang akan berlaku apabila ucapan belanjawan mengumumkan ‘berita baik’ yang tidak wujud di dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan mahupun Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan?

Dalam kes ini, tidak ada jaminan bahawa ‘berita baik’ itu akan dilaksanakan, kerana ucapan belanjawan bukanlah belanjawan. Justeru, kerajaan tidak terikat dengan ucapan belanjawan.

Ucapan Najib tidak ada profesionalisme dan kualiti

Ucapan Belanjawan 2017 yang dibentangkan Najib bukan sekadar sangat berbaur politik, menyindir dan memburuk-burukkan pembangkang dan pengkritik beliau, tetapi juga amat tidak profesional serta tidak berkualiti.

Ya, terdapat banyak pertunjukan sampingan yang menghiburkan dengan persembahan powerpoint dan telatah lucu Menteri Kewangan, tetapi daripada mengetengahkan hal-hal utama dalami belanjawan (sebenar), beliau memilih untuk menyampaikan ceramah politik dengan pengumuman belanjawan yang meragukan, lebih-lebih lagi apabila ‘berita baik’ yang disebutnya tidak dapat ditemui dalam dokumen belanjawan yang sebenar.

Jika item-item yang hilang ini ada dalam belanjawan sekalipun, tetapi ia tersembunyi atau dikategori di bawah penerangan berbeza, ia hanya menunjukkan betapa dokumen belanjawan yang dibentangkan itu amat mengelirukan. Ia akan menyukarkan penelitian oleh pakar-pakar.

Ramai pihak termasuk saya dan rakan-rakan telah mempersoal kelemahan proses belanjawan kita yang lepas. Sebagai contoh, dokumen belanjawan itu sendiri tidak memberi gambaran keseluruhan perbelanjaan kerajaan.

Selain daripada percanggahan yang dinyatakan tadi, terdapat juga item di luar belanjawan seperti perbelanjaan kerajaan, hutan dan liabiliti yang menyembunyikan situasi kewangan sebenar kerajaan, termasuk penyelewengan dana berbilion ringgit yang didakwa berkait dengan Perdana Menteri dan banyak lagi.

Malah, Malaysia berada di kedudukan 49 daripada 102 negara dalam Open Budget Index (OBI) 2015 yang dihasilkan oleh International Budget Partnership dengan cuma meraih 46/100 (Indonesia 59/100, Filipina 64/100). Dari laporan itu, dapat disimpulkan bahawa ‘Kerajaan Malaysia menyediakan rakyat dengan maklumat belanjawan yang amat terhad.

Sebuah badan pemikir di Malaysia, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dalam laporan mereka pada April lalu yang bertajuk ‘How can Malaysia’s Budget Documents be Improved?’ menyatakan bahawa ‘Cadangan Bajet Eksekutif’ yang merangkumi Ucapan Belanjawan, Rang Undang-undang Perbekalan, Rang Undang-undang Kewangan, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan, Anggaran Hasil Persekutuan dan Laporan Ekonomi dianggap sebagai ‘berkualiti rendah’.

Ucapan belanjawan yang tidak profesional dan berkualiti rendah begitu tidak berhak mendapat perhatian ahli-ahli Parlimen yang memilih untuk membantah dengan berjalan keluar semasa pembentangan belanjawan oleh Menteri Kewangan pada 21 Oktober lalu. Namun, kami bersedia untuk membahaskan belanjawan sebenar pada setiap peringkat dalam beberapa minggu akan datang walaupun mengetahui bagaimana cacatnya sistem itu secara keseluruhannya.

*Steven Sim merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam merangkap Pengarah Pendidikan Politik DAP Pulau Pinang