Berita

Irwan tidak jujur, defisit hutang dijamin kerajaan tetap bom jangka, tegas Tony Pua

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Wujud kelompangan dalam jaminan ekonomi yang kukuh oleh kerajaan berdasarkan Belanjawan 2017 meskipun negara terus mencatatkan dan menyasarkan penurunan peratusan defisit saban tahun.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menjelaskan, negara pada hakikatnya, sedang mengalami kegawatan ekonomi akibat daripada defisit perbadanan awam bukan kewangan (NFPC) yang terus meningkat dari tahun ke tahun.

Menurutnya, hutang di bawah liabiliti luar jangka NFPC adalah dijamin oleh kerajaan, sekaligus ia dilihat sebagai ‘bom jangka’ terbesar kepada sistem kewangan awam di Malaysia ekoran peningkatan defisit tersebut.

“Pada tahun 2013, defisit belanjawan adalah 3.8 peratus. Angka itu menurun kepada 3.4 peratus dan 3.2 peratus pada tahun 2014 dan 2015. Bagi tahun ini, kerajaan menganggarkan penurunan kepada 3.1 peratus dan unjuran 3.0 peratus bagi 2017.

“Bagaimanapun, apa sebenarnya yang disorok adalah peralihan peningkatan perbelanjaan daripada belanjawan rasmi Kerajaan Persekutuan kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan.

“Oleh itu pada hakikatnya, perbelanjaan Kerajaan adalah lebih tinggi berbanding sebelum ini, meningkatkan risiko ekonomi negara dengan pinjaman dan liabiliti luar jangka yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah apa yang lebih membimbangkan, menurut Tony, NFPC mencatatkan defisit yang lebih besar iaitu dianggarkan RM50.5 bilion bagi tahun 2016 berbanding defisit Kerajaan Persekutuan yang mencatatkan RM38.7 bilion dalam tahun yang sama.

NFPC itu termasuk 29 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu Indah Water Konsortium, KTM Bhd, Telekom Malaysia, Malaysia Airlines Bhd, Malaysia Airport Holdings, Petronas, Prasarana, Syarikat Perumahan Negara, Tenaga Nasional, MRT Co dan UEM Group.

Bagaimanapun, dakwaan tersebut disangkal Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dengan alasan GLC mempunyai pelaburan yang besar dengan memetik Petronas yang melabur RM5 bilion setiap tahun.

Pun begitu, menurut Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP, Irwan tidak berlaku jujur kerana tidak mendedahkan bahawa salah satu syarikat GLC berkaitan pengangkutan awam iaitu Prasarana mempunyai RM13 bilion hutang dan terpaksa menerima bantuan kerajaan Persekutuan untuk terus beroperasi.

“Mengapa beliau tidak menunjukkan bahawa MRT Co sedang melaksanakan pelaburan RM22 bilion bagi pembangunan laluan Sungai Buloh – Kajang dan merancang satu lagi projek laluan MRT II yang menelan RM26 bilion, yang dibiayai hampir keseluruhannya dengan hutang yang tidak mungkin akan dibayar balik tanpa sokongan kerajaan pada masa akan datang?” soalnya. – Roketkini.com