Rencana

Menuju #Bersih5, Pemuda Pakatan Harapan lancar ‘Yellow Weekend’

Malaysia mutakhir ini berada dalam keadaan yang cukup membimbangkan. Selepas terpalit dengan pelbagai isu dan skandal, barisan pemerintah kleptokrasi pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak kini semakin gila dan terdesak untuk mengekalkan kuasa.

Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memusatkan kuasa pengisytiharan ‘darurat’ di tangan Perdana Menteri telah pun dikuatkuasakan walau undang-undang ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Pelan melukis sempadan pilihanraya ala gerrymandering pula bakal membunuh suara rakyat, hanya dengan satu matlamat, mengekalkan kepimpinan kleptokrasi. Skandal rompakan berbilion ringgit wang 1MDB melibatkan Perdana Menteri mahu terus didiamkan hingga beban hutang yang mencecah lebih RM50 bilion bakal ditanggung rakyat kelak.

Justeru Pemuda Pakatan Harapan merasakan bahawa, untuk seluruh rakyat bersama-sama dalam Himpunan #Bersih5 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 19 November 2016, bukan lagi satu pilihan bahkan kewajipan. Menuntut satu reformasi pilihanraya yang bersih dan adil serta desakan agar suara rakyat (undi) tidak dimanipulasi untuk mengekalkan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.

Dengan keadaan negara yang kian tenat, dengan kepimpinan negara yang ‘pekak’ dengan suara perubahan anak muda, lantas kami menyeru kehadiran ribuan anak muda, bandar dan luar bandar, di universiti awam mahupun swasta, bekerja mahupun menganggur, bujang mahupun berkahwin, yang dinafikan hak biasiswa hinggalah disenaraihitam PTPTN, tanpa mengira perbezaan ideologi politik dan kaum, ke Himpunan #Bersih5.

Bagi menggembleng seluruh kekuatan sayap muda ketiga-tiga parti menuju tarikh keramat 19 November, kami mengisytiharkan bahawa bulan November yang bakal menjengah beberapa hari sahaja lagi sebagai #BulanBersih. Seluruh gerak kerja kami di setiap peringkat, samada nasional, negeri, parlimen dan cawangan-cawangan, kesemuanya akan menghala ke arah mobilisasi Himpunan #Bersih5.

Pada masa yang sama, kami bersama warga muda akan menggerakkan flashmob serentak di seluruh negara pada 14 November 2016. Flashmob besar-besaran ini akan disertai dengan ceramah kelompok dan edaran risalah berhubung tuntutan #Bersih5.

Bermula hari ini juga, kami dengan bersepadu menggerakkan kempen “Yellow Weekend” dengan menyeru masyarakat awam memakai t-shirt #Bersih5 atau kemeja berwarna kuning setiap Sabtu dan Ahad. Kempen ini bertujuan menggelombangkan #Bersih5 di kawasan-kawasan kampung, lokasi-lokasi awam, pejabat-pejabat awam dan swasta, lingkungan-lingkungan persendirian dan universiti-universiti.

Kempen berkembar ini juga bersekali dengan seruan kepada seluruh rakyat yang menolak Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak untuk mengubah profile picture di media-media sosial dengan badge #Bersih5 serta menaikkan gambar dan status setiap pendokong dengan hashtag #19November #Bersih5.

Rakyat Malaysia, kita jumpa di #Bersih5 nanti!

Kenyataan bersama ini didokong oleh:

SANY HAMZAN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

YB NIK NAZMI NIK AHMAD
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia

YB WONG KAH WOH
Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan