Rencana

Tapak arkeologi 10,000 tahun Gua Cha diancam pembalakan di Kelantan

Riuh-rendah gegak-gempita yang tersembul keluar dari Hutan Simpan Kekal Balah, Gua Musang sejak 28 September lalu bukan sahaja menyingkap aktiviti pembalakan yang mengancam ekosistem dan kehidupan penduduk Orang Asli Temiar di sini, tetapi juga ancaman kepada tapak arkeologi sejarah awal manusia purba negara ini.

20161010_114053

Salah satu bahagian di Gua Cha. Kesan pengorekan cari gali arkeologi masih dapat dilihat. Foto Hafiz Zainuddin.

Tapak arkeologi tersebut adalah Gua Cha tempat ditemukan rangka manusia zaman ‘Hoabinhian’ yang hidup sekitar 10,000 tahun dahulu diikuti penemuan artifak masyarakat zaman neolitik kira-kira 4,000 tahun lampau. Gua ini terletak bersebelahan laluan utama sebelum tiba ke perkampungan Orang Asli di Pos Tohoi.

Saya berpeluang mengikuti Rainforest Camp anjuran NGO Royalti (R) Malaysia, Impian Kelantan, PEKA, JKOAK, Kuasa dan Kelab Kenderaan 4WD Orange bersama beberapa media lain pada 10 dan 11 Oktober 2016 lalu.

Gua Cha tidak lagi terlihat megah dengan sejarah manusia purba yang dilakarnya suatu ketika dulu. Tinjauan mendapati, destinasi pelancongan sejarah negeri Kelantan itu tidak terjaga malah laluan masuk ke lokasi berkenaan ditumbuhi semak samun manakala papan tandanya juga sudah dinaiki pokok menjalar.

Adanya najis gajah disekitar kawasan ini juga membuktikan ia merupakan kawasan yang dilalui haiwan tersebut. Namun, pandangan saya dibalik pohon-pohon bersebelahan Gua Cha jelas melihat sebuah bukit yang telah gondol.

20161010_113805

Pemandangan lokasi berhampiran Gua Cha yang gondol. Foto Hafiz Zainuddin

Nasib Gua Cha tidak terjamin

Gua Cha dilaporkan telah ditemui pada tahun 1936 oleh H.D Noone dan kajian terperinci dijalankan di tapak arkeologi tersebut pada tahun 1954 oleh Gale G. Sieveking. Kajian itu diteruskan pada tahun 1979 dan 1985 oleh Jabatan Muzium Malaysia diketuai ahli arkeologi Dr Adi Taha.

Beliau juga merupakan individu yang bertanggungjawab dalam kerja-kerja cari gali di tapak arkeologi yang menemukan pusat ketamadunan awal di Semenanjung Malaysia di Lembah Bujang, Kedah pada tahun 1976.

Tidak seperti pusat arkeologi Lembang Bujang yang dipulihara, nasib tapak arkeologi berusia 10,000 tahun di Gua Cha, Kelantan ini pula menjadi tanda tanya apabila wujud aktiviti pembalakan untuk perladangan hutan berhampiran kawasan tersebut.

Selain tinjauan tapak, pihak penganjur turut melakukan tinjauan udara menggunakan dron untuk melihat kemusnahan yang berlaku sekitar tapak arkeologi tersebut.

Pembalakan dan perladangan hutan berhampiran Gua Cha dan Sungai Nengiri

gua_cha_2

Rakaman udara menggunakan dron NGO Royalti Malaysia menunjukkan sebahagian besar kawasan berhampiran Gua Cha telah gondol.

Menurut Pengerusi Penaja Royalti Malaysia Syam Ghaz, berdasarkan gambar-gambar yang diambil menggunakan dron, aktiviti perladangan hutan betul-betul hampir dengan sungai Nengiri yang menyumbang kepada kekeruhan sungai terutama selepas hujan.

“Air sungai berhadapan Gua Cha, memang didapati keruh pekat  macam teh tarik menjejaskan kualiti dan lokasi ini sebagai Tarikan Pelancongan di Kelantan. Ia kerana terdapat Aktiviti Pembalakan dan Perladangan Hutan di Hulu Sungai Nengiri,” dedahnya.

Syam berkata kedudukan zon pemapan dua rantai atau sekitar 50 meter dari sungai katanya seolah-olah dilanggar oleh syarikat yang mengusahakan perladangan hutan tersebut.

“Sepatutnya Kerajaan Negeri menghalang mana-mana syarikat atau agensi melakukan aktiviti perladangan hutan, pembalakan berhampiran Pusat Arkeologi bersejarah ini.

“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Perhutanan perlu memantau dan mengambil tindakan di atas aktiviti perladangan yang betul-betul masuk dalam kawasan buffer zone yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, aktiviti pembalakan sepatutnya mengamalkan sistem penebangan terpilih (marking) dan bukannya dengan cara ‘cuci mangkuk’.

“Perladangan hutan cara tebang habis untuk tanaman pokok getah klon balak, sawit, dan pokok-pokok hutan perlu dihentikan di Hulu Sungai Nengiri bagi mengelakkan air keruh dan banjir lumpur,” ujar beliau.

Akibat balak, banjir lumpur boleh berulang

21d1af8e-3919-484c-b29c-34afbf876288

Pemandangan dari jambatan sementara merentasi Sungai Nengiri menunjukkan air sungai berwarna ‘teh tarik’. Foto Mohd Fauzi Mohd Azmi.

Beberapa buah gambar yang dirakam aktivis Mohd Fauzi Mohd Azmi dua hari lalu masih mendapati, Sungai Nengiri dan Sungai Galas yang melalui kawasan pembalakan di Gua Musang itu berwarna ‘teh tarik’.

Dua sungai ini juga katanya telah menyumbang kepada limpahan banjir lumpur tahun 2014 lalu sehingga menenggelamkan hampir semua kampung-kampung yang berada sepanjang laluannya.

“Siapa boleh andaikan bahawa tragedi akhir tahun 2014 takkan berulang lagi di Kelantan dengan keadaan macam ni?” soal Fauzi.

Pembalakan tanpa pemantauan pihak berkuasa negeri?

Dalam laporan berita sebelum ini, Roketkini melaporkan pembalakan ‘cuci mangkuk’ di Gua Musang itu gagal dipantau dengan baik oleh kerajaan Kelantan.

Dalam satu lawatan ke Rondong, sebuah kawasan berhampiran Pos Gob, sebuah perkuburan Orang Asli telah musnah selain pembalakan yang berlaku bersebelahan dengan Sungai Jawi yang berdekatan.

rangka-manusia

Rangka manusia ‘Hoabinhan’ dan artifak tembikar yang ditemui di Gua Cha pada tahun 1954.

Tinjauan dron oleh pertubuhan R Malaysia yang dibuat di kawasan berkenaan juga menunjukkan jarak antara kawasan penebangan balak dengan sungai, kurang dari lima meter dan bercanggah dengan jarak zon pemapan 50 meter seperti yang ditetapkan undang-undang.

Pembalakan itu kata Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) Hafizudin Nasarudin yang berada di lokasi, adalah tidak mengikut ketetapan peraturan boleh menyebabkan pencemaran ke atas sungai berhampiran. 

“Sepatutnya Jabatan Perhutanan patut pantau aktiviti penebangan hutan jika berhampiran kawasan sungai, kolam dan sebagainya,” katanya.

Kembara memasuki belatara Balah itu turut membawa kami ke Air Terjun Dakota terletak sekitar 20 kilometer dari Pos Gob.

Dari pemerhatian, aktiviti pembalakan jelas berlaku dikawasan sekitar Air Terjun Dakota apabila tebangan pokok dilakukan kurang 50 meter dari kawasan sungai yang merupakan sumber air setempat.

Meski kerosakan air terjun itu dinafikan Pemuda PAS Kelantan, bukti sebuah kongsi pekerja balak beserta sebuah jentera yang berada di sekitar 200 meter tidak jauh dari kawasan air terjun itu tidak dapat menyangkal berlakunya aktiviti pembalakan.

Pincangnya pengurusan lestari hutan Kelantan

20161010_113148

Antara aktivis, sukarelawan NGO dan media yang terlibat dalam tinjauan di Gua Cha.

Isu pemusnahan hutan akibat pembalakan di pedalaman Gua Musang yang timbul sejak beberapa tahun lalu menunjukkan wujudnya kepincangan pengurusan hutan lestari dari kerajaan PAS Kelantan.

Tambahan pula, tindakan kerajaan Kelantan yang meluluskan aktiviti pembalakan kurang daripada 500 hektar bagi sesebuah kawasan hutan simpan boleh disifatkan muslihat mereka untuk mengelak daripada menyediakan laporan Penilaian Alam Sekitar (DEIA).

Akibatnya, pembalakan cuci mangkuk bukan sekadar menyukarkan kehidupan dan ekonomi penduduk Orang Asli Temiar setempat malah telah mengganggu ekosistem dan tempat bersejarah di Malaysia.

Ekspedisi kami meninggalkan Gua Cha sekitar jam satu petang.

Saya tertanya-tanya, adakah dalam setahun dua lagi, banjir besar akan berulang dan kawasan ini akan turut tenggelam dan musnah bersama sejarah tamadun manusia puluhan ribu tahun lalu dek gagalnya pengurusan lestari sebuah kerajaan yang berbangga melaungkan slogan ‘Membangun Bersama Islam”? – Roketkini.com