Berita

Tragedi kebakaran HSA, DAP mahu Suruhanjaya Siasatan Di-Raja ditubuhkan

KUALA LUMPUR, 27 OKT: DAP menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan untuk menubuhkan Jawatankuasa Siasat Bebas bagi mengenal pasti punca sebenarnya di sebalik tragedi kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang telah meragut beberapa nyawa.

Bagaimanapun, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, di samping penubuhan jawatankuasa itu, Suruhanjaya Siasatan Di-Raja harus ditubuhkan bagi menyiasat kes berkenaan secara bebas tanpa terikat dengan mana-mana agensi kerajaan.

“Adalah penting selain daripada siasatan yang dilaksanakan jabatan-jabatan, satu suruhanjaya diberikan tugasan dan kebebasan dari luar (untuk menyiasat kes berkenaan),” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen sebentar tadi.

Terdahulu, dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya memaklumkan bahawa jawatankuasa yang akan ditubuhkan itu akan dianggotai beberapa agensi kerajaan dan diketuai Jabatan Kerja Raya (JKR).

Agensi lain yang terlibat ialah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH); Jabatan Bomba dan Penyelamat; Lembaga Jurutera Malaysia; Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan dan Bahagian Perancangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ia merupakan jawapan balas terhadap persoalan yang dibangkitkan Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang kepada Menteri Kesihatan dalam sesi berkenaan pagi ini, mengenai sama ada satu Suruhanjaya Di-Raja akan ditubuhkan bagi menyiasat kes kebakaran itu.

Tidak perlu swastakan perkhidmatan dan penyelenggaraan hospital  

Dalam pada itu, Chin Tong berkata, penswastaan perkhidmatan dan penyelenggaraan hospital perlu dikaji semula oleh kerajaan melalui Jawatankuasa Siasatan Bebas yang akan ditubuhkan itu.

“Kami (DAP) rasa tidak perlu untuk kerajaan menswastakan (perkhidmatan dan penyelenggaraan hospital), tetapi apa yang penting ialah satu cara komprehensif dalam pengendalian hospital perlu dilaksanakan tanpa bergantung kepada penswastaan,” katanya.

Terdahulu, beliau dalam sesi yang sama mahu mengetahui sama ada syarikat perkhidmatan dan penyelenggaraan hospital, Medivest Sdn Bhd akan digantung berikutan kejadian kebakaran berkenaan.

Namun, Hilmi berkata penggantungan tidak akan dibuat terhadap Medivest dan menegaskan bahawa tindakan penalti boleh dikenakan sekiranya Jawatankuasa Siasatan Bebas mendapati punca kebakaran HSA adalah kerana kecuaian syarikat berkenaan. – Roketkini.com