Berita

Kerajaan diseru tingkatkan peruntukan Jabatan Alam Sekitar bagi tangani krisis air

KUALA LUMPUR, 28 OKT: DAP menggesa Kerajaan Persekutuan meningkatkan peruntukan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam Belanjawan 2017 yang dibentangkan baru-baru ini bagi menangani masalah gangguan bekalan air dalam negara.

Ia berikutan tindakan kerajaan Persekutuan yang mengurangkan peruntukan kepada JAS untuk kerja pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang dari RM105 juta ringgit pada 2016 kepada hanya RM76.5 juta untuk tahun hadapan.

Ahli Parlimen Serdang, Dr. Ong Kian Ming berkata pemotongan besar untuk aktiviti-aktiviti tersebut akan menjejaskan keupayaan agensi berkenaan untuk memantau pencemaran oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Di saat sungai kita semakin terdedah kepada pencemaran, peruntukan untuk pemantauan dan penguatkuasaan patut dinaikkan sebanyak 30% dan bukannya dipotong sebanyak itu.

“Saya menyeru Menteri Kewangan untuk menterbalikkan situasi ini dengan menambah kembali peruntukan di bawah JAS,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Kian Ming, warga Serdang kerap membuat aduan berhubung masalah bau dan pencemaran yang berpunca dari aktiviti kilang di kawasan situ pada waktu malam.

“Apabila aduan itu disampaikan kepada JAS, mereka mendakwa peruntukan yang diberi tidak mencukupi bagi menjalankan aktiviti pemantauan dan pelaksanaan secara berkesan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adun Mengkibol, Tan Hong Pin turut membuat seruan yang sama bagi menangani krisis bekalan air yang semakin teruk di Johor.

Beliau berkata, sumber kewangan yang mencukupi wajib diberi kepada JAS untuk memperkasakan kerja pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang, khususnya melibatkan air sungai yang menjadi sumber minuman.

“Contohnya di Johor, tanpa bekalan sumber air yang selamat dan konsisten, seluruh rakyat akan menjadi mangsa dan pembangunan ekonomi akan turut terjejas,” jelasnya.

Beliau menambah, masalah gangguan bekalan air di Johor berpunca dari sumber air yang kian menyusut akibat kawasan tadahan air yang terdedah kepada pencemaran di samping berlakunya perubahan iklim.

“Beberapa sungai yang menjadi sumber air utama di Johor seperti Sungai Johor dan Sungai Skudai sering mengalami masalah pencemaran yang membimbangkan.

“Malah, ada loji rawatan air terpaksa ditutup daripada beroperasi apabila kualiti air mentah terlalu teruk dan sukar dirawat,” ujarnya lagi.

Selain sungai di Johor, pencemaran serius di Sungai Semantan dan Sungai Semenyih turut menyebabkan krisis bekalan air yang akhirnya menjejaskan lebih separuh juta penduduk di Selangor baru-baru ini. – Roketkini.com