Berita

DAP desak kerajaan henti cabutan khas judi nombor ramalan

KUALA LUMPUR, 1 NOV: DAP hari ini mendesak kerajaan supaya menghentikan cabutan khas (Special Draw) judi nombor ramalan sebagai langkah mengurangkan beban kewangan golongan berpendapatan rendah yang sering terjebak dalam perjudian tersebut.

Dalam pada itu DAP turut mencadangkan supaya bilangan hari cabutan nombor ramalan tersebut dikurangkan kepada dua hari berbanding tiga hari pada minggu biasa.

Gesaan ini dibuat oleh Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong dalam satu sidang media di Parlimen.

Menurut Anthony Loke, cabutan nombor ramalan ini diperuntukkan setiap minggu oleh Kementerian Kewangan kepada setiap syarikat nombor ramalan seperti Magnum, Toto dan Da Ma Cai pada hari Rabu, Sabtu dan Ahad.

Manakala cabutan khas lazimnya diperuntukkan dua kali dalam tempoh sebulan pada hari Selasa.

“Pada minggu yang ada cabutan khas, maksudnya dalam tempoh seminggu, empat hari ada cabutan.

“Kalau orang yang berjudi ini, empat kali mereka akan berjudi. Ini seolah-olah menggalakkan masyarakat berjudi. Ini yang kita bangkitkan dalam Parlimen dari tahun ke tahun dan kita minta supaya kerajaan kurangkan.

“Yang pertamanya batalkan cabutan khas ini. Paling baik ialah kurangkan jumlah hari cabutan. Daripada tiga hari kepada dua hari,” gesa Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan itu.

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong berkata, pihaknya telah pun beberapa kali melakukan pertemuan dnegan Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani bagi membincangkan perkara tersebut.

“Sejak kami dipilih sebagai Ahli Parlimen pada tahun 2008, banyak kali kami menyeru kerajaan dan Kementerian Kewangan supaya menghentikan amalan cabutan khas nombor ramalan yang kesannya akan membebankan rakyat dan menghakis pendapatan boleh guna golongan berpendapatan rendah.

“Kami difahamkan golongan berpendapatan rendah merupakan kelompok yang sering terjebak dengan perjudian nombor ramalan ini dan kita dalam suasana hari ini yang memerlukan peningkatan permintaan domestik yang lebih tinggi untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

“Tindakan menghentikan amalan cabutan khas adalah salah satu langkah sebagai pertimbangan kerajaan dan kementerian kewangan,” kata Chin Tong yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan. –Roketkini.com