Berita

DAP Selangor siap sedia pertahan kemenangan dengan strategi satu lawan satu

PETALING JAYA, 13 NOV: DAP Selangor menyatakan kesediaan menyokong penuh agenda satu lawan satu pada pilihanraya umum akan datang, ekoran keberkesanan strategi tersebut dalam menumpaskan UMNO pada PRU ke-12 dan ke-13.

Namun kata Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, sokongan terhadap strategi tersebut bukanlah dilakukan secara buta tuli, malah mestilah berdasarkan prinsip dan persetujuan dasar bersama.

“Apa gunanya kita bersepakat dengan sebuah parti yang dikatakan berasaskan prinsip-prinsip agama, tapi enggan menentang belanjawan yang dibentangkan oleh seorang Perdana Menteri yang terbukti menyeleweng berbilion-bilion dolar wang rakyat ke dalam akaun peribadi beliau?” soalnya dalam ucapan di Konvensyen DAP Negeri Selangor di sini pagi tadi.

“Apa gunanya kami berpeluk-peluk dengan parti yang ingin menonjolkan kealiman mereka tetapi masih bermesra dengan Dato’ Seri Najib Razak, penyamun dan perompak yang paling terkemuka seluruh dunia?” soalnya lanjut, merujuk kepada bekas rakan kongsi Pakatan Rakyat, Parti Islam SeMalaysia, PAS.

Menurut Tony yang juga Ahli Parlimen PJ Utara, bukan sahaja PAS memilih untuk tidak mengecam tindak-tanduk Perdana Menteri, parti tersebut turut memilih untuk memboikot perhimpunan aman Bersih 5 19 November nanti.

“Bukankah pendirian mereka dah cukup jelas?” soalnya.

Setiausaha Publisiti DAP itu berkata, tiada guna mematuhi agenda satu lawan satu, namun ditikam oleh mana-mana pihak yang ‘mungkin terpikat dengan tawaran istimewa daripada UMNO Barisan Nasional’.

“Tapi kami DAP memahami kepentingan satu lawan satu. Oleh sebab itu, kami setuju berikan masa untuk pihak-pihak yang masih ingin berunding dengan parti berkaitan.

“Permuafakatan ini telah dicapai dan diumumkan dalam Konvensyen Pakatan Harapan semalam di mana tarikh tamat akan ditetapkan untuk perunding tersebut,” jelasnya.

whatsapp-image-2016-11-13-at-09-59-03Jangan putus asa, jangan hilang Selangor

Tony juga tidak melepaskan peluang untuk mengarahkan akar umbi jentera DAP Selangor untuk memberi sokongan kepada Amanah, parti serpihan PAS yang masih bersetia kepada pakatan politik pembangkang.

“Saya ingin mengarahkan supaya kesemua akar-umbi dan jentera pilihanraya DAP Selangor mencontohi semangat kami di Sungai Besar dan memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada kawasan-kawasan yang akan ditandingi oleh Amanah, dan juga kami tak lupa, PKR dalam pilihanraya yang akan datang.”

Menurutnya kemenangan Amanah adalah sangat penting kerana tanpa memastikan kemenangan Amanah, dan mempertahankan kerusi yang telah dimenangi oleh PKR, Pakatan Harapan akan hilang kuasa kerajaan negeri Selangor.

Beliau turut mengingatkan supaya para pekerja parti tidak berputus asa dan terus berjuang demi sebuah Malaysia yang adil dan makmur untuk semua rakyat Malaysia.

“Apabila pemimpin utama DAP, Sdr Lim Kit Siang dan Sdr Karpal Singh pun boleh tewas di

kerusi mereka pada tahun 1999, mereka tentulah berhak berputus asa kerana kekecewaan selepas perjuangan berpuluh-puluh tahun.

“Kerana keazaman merekalah, hari ini kita dapat melihat sedikit kemungkinan, untuk menewaskan Barisan Nasional.

“Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun, Tun Dr Mahathir Mohamad pun mahu berdiri bersama musuh lamanya Saudara Lim Kit Siang untuk berada di pihak yang benar dalam sejarah. Apa lu mau lagi?” soalnya. – Roketkini.com