Rencana

BN Johor tiada calon bukan Melayu

Setelah meneliti rakaman potongan ucapan penggulungan Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin khususnya berkaitan dakwaan beliau, kerajaan Pulau Pinang tidak membela nasib orang Melayu dan India semenjak memerintah negeri tersebut.

Untungnya seorang Menteri Besar yang bercakap semahunya di dalam dewan negeri yang memberi imuniti sepenuhnya hak dan perlindungan dari disoal kembali oleh wakil pembangkang dalam sesi dewan.

Malangnya pula, saya bukan salah seorang wakil pembangkang di dalam dewan tersebut untuk menjawab dakwaan beliau itu. Apa boleh buat, sudah nasib.

Dari segi teknikal, memang cukup mudah untuk bercakap dan membuat dakwaan terhadap pihak yang tidak boleh atau dihalang atas sebab aturan mesyuarat dari menjawab atau menerangkan kedudukan isu tersebut. Ibarat, memukul orang yang kaki tangannya sedang diikat.

Perkara kedua, saya kira ucapan MB ini ditulis oleh orang yang amat terdesak untuk memberi peluru kepada bosnya untuk mengasak DAP atau, penulis itu memang tidak bersedia, atau tidak membaca atau enggan menyemak sepenuhnya intipati dakwaan tersebut.

Saya memahami ‘politik’ penulis-penulis ucapan Menteri atau Exco atau ketua Pembangkang dalam hal-hal retorika politik dewan negeri atau dewan rakyat.

Saya tidak mahu mengulas butiran dakwaan Menteri Besar Johor kerana saya ingin biarkan kepada pihak yang lebih arif untuk menerangkannya.

Saya lebih berminat untuk menganalisa ucapan penggulungan yang disediakan oleh penulis-penulis Menteri Besar.

Pertama, saya tidak percaya ucapan itu dibuat oleh Setiausaha Kerajaan Negeri atau pegawai dari pihak Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN). Sebaliknya saya percaya ia dikarang oleh ‘orang politik’ yang dipercayai oleh Khaled Nordin.

Seperkara yang Khaled Nordin perlu tahu ialah, ucapan beliau ini tidak ada isi. Masalah ketiadaan isi bila bermain retorik politik seperti ini, ia mencerminkan keterdesakan UMNO Johor yang dipimpin oleh beliau.

Saya percaya, Barisan Nasional yang dikepalai oleh UMNO, yang juga dipimpin oleh Khaled Nordin tidak mempunyai calon bukan Melayu yang meyakinkan untuk menang dan bertanding di Johor.

Perkara ini sememangnya merisaukan BN Johor yang sangat-sangat bergantung harap dengan undi tradisinya. Mereka tidak dapat lagi mengharapkan calon-calon dari MCA, Gerakan dan MIC yang sedia ada untuk membantunya mengekalkan kuasa di negeri Johor.

Masalah ini tambah nyata apabila Timbalan Perdana Menteri membayangkan bahawa BN sedang mempertimbangkan untuk memansuhkan kuota parti yang bertanding pada Piliharan Raya Umum Ke- 14 (PRU14).

Wakil-wakil rakyat MCA dan MIC di Johor ketika ini sangat tidak menyerlah khidmatnya, baik di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun sebagai EXCO. Ini cukup untuk mendatangkan masalah kepada UMNO Johor yang kini telah hilang majoriti dua pertiganya.

Kedua, apabila beliau mendakwa agenda DAP tidak sesuai dengan aspirasi Bangsa Johor, ini jelas memberi isyarat bahawa senjata mula makan tuan. Beliau sudah mula merasakan konsep ‘Bangsa Johor’ ini tidak dapat dimilikpunya oleh parti UMNO.

Menteri Besar ini seharusnya diingatkan oleh rakan-rakan pemikir di sekelilingya bahawa slogan Bangsa Johor ini, dihidupkan kembali oleh Tuanku Sultan Johor, bukan parti UMNO. Adalah satu fakta bahawa Tuanku Sultan dan Tengku Mahkota Johor lah yang sering mengutarakan konsep ini kepada rakyat, bukan Khaled Nordin atau UMNO.

Tuanku sendiri pernah bertitah bahawa konsep Bangsa Johor ini adalah milik anak Johor, tidak kira Cina, Melayu, India atau kaum apa sekalipun.

Khaled Nordin sedang cuba ‘mencuri’ konsep Bangsa Johor ini untuk laba politik UMNO. Itu saja, tiada isi yang kukuh pun.

Salah satu cara UMNO Johor untuk menjauhkan semangat Bangsa Johor dari DAP, hanyalah dengan membuat dakwaan sembarangan seperti ucapannya didalam dewan itu, agar rakyat membenci DAP.

Ini tidak ada kena mengena dengan agenda DAP, sebaliknya ia hanyalah agenda sempit UMNO untuk memecahbelahkan keharmonian rakyat, ia hanya agenda Khaled Nordin yang semakin tersepit apabila rakyat sudah mula dapat menerima ahli dan wakil rakyat DAP Johor sebagai sebahagian daripada Bangsa Johor.

Isu paling besar yang cuba disembunyikan ialah, kerajaan UMNO BN Johor hari ini adalah penyokong tegar “Malaysia Official 1” (MO1), mereka adalah penyokong kerajaan kleptokrasi Najib Tun Razak. – Roketkini.com

*Mahdzir Ibrahim ialah Pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Johor